BELANJAWAN 2021: BAT perlu inisiatif baharu selain penguatkuasaan | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: BAT perlu inisiatif baharu selain penguatkuasaan

Rokok haram

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - British American Tobacco (BAT) mengharapkan berita gembira terhadap inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2021 untuk membantu mengatasi isu rokok seludup.

 

CGS-CIMB Research berkata, inisiatif yang diharapkan itu bukan hanya dalam aspek penguatkuasaan oleh badan bertanggungjawab.

 

"Wawancara Menteri Kewangan bersama media tempatan menyatakan akan membuat pengumumkan berkaitan dengan pasaran tembakau haram dalam Belanjawan 2021 hari ini.

 

"Dalam wawancara berkenaan, beliau mengatakan bahawa penyelesaian kepada isu berkenaan adalah terletak kepada aspek penguatkuasaan yang ketat terhadap aktiviti penyeludupan. Beliau turut berpendapat bahawa tiada keperluan untuk menyemak semula pelaksanaan duti eksais terhadap sektor berkenaan.

 

"Kami kurang berminat dengan inisiatif penguatkuasaan itu kerana kerajaan terdahulu telah menyuarakan perkara sama, namun perdagangan rokok haram terus berkembang," jelas CGS-CIMB Research.

 

Baru-baru ini, Pengarah Urusan JT International (Malaysia) (JTI), Michael O'Rourke melaporkan pasaran rokok haram meningkat kepada 65% pada Ogos berbanding 62% pada Julai.

 

Baca: Perdagangan rokok haram Ogos melonjak 64.5%

aaa

Jelas CGS-CIMB Research, peningkatan tersebut didorong oleh penggunaan vape atau e-rokok yang semakin polular dalam kalangan generasi muda.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, apa sahaja yang bakal diumumkan untuk industri rokok dalam Belanjawan 2021 paling tidak hanya perkembangan yang neutral.

 

Pihaknya juga yakin bahawa kerajaan tidak mampu untuk menghalang perokok daripada mendapatkan rokok haram.

 

"Kami melihat BAT diperdagangkan pada tahap yang baik di mata pelabur.

 

"Kami kekalkan saranan 'tambah' saham BAT dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM12.65," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com