Belanjawan 2021 lulus, lonjakkan pasaran | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 lulus, lonjakkan pasaran

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Belanjawan 2021 yang diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini memberi rangsangan kepada pasaran tempatan apabila ditutup melebihi paras 1,600 mata. 

 

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 14.53 mata untuk ditutup kepada 1,612.11 mata setelah dibuka pada 1,597.69 mata pagi tadi.

 

Pasaran tempatan yang meningkat 0.91% itu bergerak dalam jajaran 1,590.65 hingga 1,612.78 mata dengan 8.81 bilion saham diniagakan bernilai RM4.66 bilion. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 816 berbanding 412 manakala 425 kaunter tidak berubah. 

 

Perkembangan yang positif dalam penggulungan belanjawan petang ini, turut menyokong pasaran kawangan tempatan.

 

Ringgit petang ini ditutup lebih tinggi pada RM4.0650/0700 berbanding dolar AS, daripada penutup semalam, RM4.0835/0890. 

 

Mata wang tempatan itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan. 

 

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) adalah yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak beliau mengetuai pentadbiran negara Mac lalu. 

 

Keputusan itu diumumkan yang Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada jam 3.28 petang diluluskan dengan sebulat suara manakala kurang 15 ahli Parlimen tidak bersetuju. 

 

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu dan seramai 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 hingga 19 November. 

 

Antara perkara menarik yang dibentangkan semasa penggulungan belanjawan petang tadi termasuklah pengumuman kerajaan untuk memberi peluang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas untuk memohon pengeluaran Akaun 1 sehingga RM10,000. 

 

Malah, Tengku Zafrul juga berkata, kerajaan akan terus mengadakan libat urus bersama institusi perbankan bagi memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, memandangkan ketidakpastian sama ada Belanjawan 2021 akan diluluskan atau tidak telah pudar, satu faktor yang akan mempengaruhi sentimen beberapa bulan akan datang adalah perkembangan vaksin COVID-19. 

 

Katanya, meskipun terdapat banyak laporan mengenai keberkesanan ujian makmal untuk vaksin oleh beberapa syarikat, satu lagi faktor adalah pengedaran vaksin tersebut apabila ia mendapat kelulusan nanti. 

 

"Untuk jangka masa terdekat, kami berpendapat bahawa mungkin akan terdapat para pelabur yang ingin menjual saham untuk mendapat keuntungan setelah FBM KLCI naik lebih daripada 5% sejak awal November. 

 

"Oleh itu, FBM KLCI dijangka berlegar sekitar 1,590 ke 1,600 mata dalam masa terdekat," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Beliau berkata, untuk tempoh jangka masa panjang, FBM KLCI akan dilihat berlegar di atas paras 1,650 ke 1,750 mata kerana para pelabur menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada 2021. 


 

Tambahan pula, katanya, jika terdapat pilihan raya umum (PRU) pada tahun hadapan, KLCI dijangka boleh mencecah paras 1,750 mata dengan lebih cepat. 

 

"Keadaan ini berlaku terutamanya sebelum menjelang PRU sepertimana kita lihat dengan lonjakan KLCI sebelum PRU-14," katanya. - DagangNews.com