Belanjawan 2022: Fokus kurangkan tekanan kewangan komuniti perniagaan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2022: Fokus kurangkan tekanan kewangan komuniti perniagaan

Kerajaan bakal membentangkan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021 yang juga memberi tumpuan kepada membela nasib peniaga kecil. - Gambar oleh Jun low 

 

 

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt – Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada komuniti perniagaan khususnya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam Belanjawan 2022, bagi mengurangkan tekanan kewangan perniagaan mereka.

 

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz  Morhalim berkata, bantuan boleh ditumpukan bagi mengurangkan tekanan kewangan perniagaan sekiranya keadaan suasana permintaan dan prestasi jualan masih belum pulih sepenuhnya.

 

“Antara yang boleh dipertimbangkan selain suntikan modal kerja, moratorium khusus contohnya bagi pinjaman kenderaan dapat memberikan fleksibiliti kewangan sementara untuk para peniaga.

 

“Manakala, diskaun untuk sewa dan bil elektrik juga boleh dilanjutkan. Perhatian dan sokongan perlu disalurkan khususnya bagi perniagaan-perniagaan yang masih belum pulih sepenuhnya seperti industri perhotelan, taman tema dan pelancongan yang masih terjejas akibat sekatan perjalanan antarabangsa,’’ katanya kepada DagangNews.Com

 

Abdul Mui'zz berkata demikian sebagai mengulas mengenai Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan pemberian modal permulaan bagi menghidupkan semula perniagaan yang telah gulung tukar kesan pandemik COVID-19.

 

Mengulas kenyataan tersebut, Abdul Mui’zz berkata, “Ini satu inisiatif yang baik untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dan mewujudkan semula peluang pekerjaan.”

 

Selain itu katanya, satu bentuk sokongan juga boleh diperkenalkan bagi mengurangkan bebanan kenaikan kos yang ditanggung PMKS.

 

Ujarnya lagi, kenaikan harga kos bahan mentah kerana kenaikan harga komoditi global dan masalah rantaian penawaran merupakan antara kesan pandemik COVID-19 yang dialami komuniti perniagaan.

 

 

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz  Morhalim
Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz  Morhalim

 

 

“Untuk rakyat pula, saya menjangka kerajaan akan terus memberi sokongan seperti Bantuan Prihatin Rakyat khususnya bagi mereka yang masih terjejas akibat kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan.

 

“Usaha mewujudkan peluang pekerjaan perlu ditekankan kerana pemulihan pasaran pekerjaan pada tahun ini masih agak perlahan kerana kadar pengangguran kekal pada paras yang tinggi (iaitu 4.8% bagi Julai 2021),” tambah Abdul Mui’zz .

 

Tengku Zafrul juga dilaporkan berkata Belanjawan 2022 adalah belanjawan pemulihan untuk menyokong usaha pembaharuan kerajaan yang lebih meluas dan berjangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

 

Ia berdasarkan tiga fokus utama iaitu memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan. DagangNews.Com