Belanjawan 2024: BNM terus sokong PMKS, tumpu empat segmen sasar | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: BNM terus sokong PMKS, tumpu empat segmen sasar

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Sejumlah RM600 juta daripada beberapa kemudahan pembiayaan di bawah Dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), diperuntukkan bagi empat segmen sasar.

 

BNM berkata, pihaknya terus menyokong  segmen-segmen utama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mendapatkan pembiayaan pada kadar yang kompetitif.

 

"Ia termasuk tambahan RM200 juta untuk kemudahan perusahaan mikro (MEF), RM200 juta di bawah kemudahan untuk semua sektor ekonomi, RM100 juta di bawah kemudahan agromakanan dan RM100 juta bagi kemudahan peralihan karbon rendah," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Terdahulu, bank pusat itu berkongsi maklumat lanjut mengenai bantuan kepada PMKS dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas.

 

Menurut BNM, secara keseluruhannya sejumlah RM8.4 bilion masih tersedia untuk PMKS di bawah semua kemudahan pembiayaan Dana BNM untuk PKS.

 

Katanya, kemudahan itu sejajar dengan usaha menyokong penglibatan PMKS dalam inisiatif-inisiatif utama kerajaan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan inisiatif-inisiatif lain di bawah Belanjawan 2024.

 

"Tambahan RM25 juta dalam bentuk dana padanan akan diperuntukkan bagi menyokong usaha memperluas inisiatif iTEKAD dan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah. 

 

"Dana ini akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma (termasuk dana tanggungjawab sosial korporat), zakat dan wakaf tunai," katanya. - DagangNews.com