KUALA LUMPUR 16 Okt - Perolehan sembilan buah kapal peronda generasi baharu (NGPC) dan bot pemintas untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tepat pada masanya ketika agensi berkenaan sangat memerlukan aset-aset moden.
Keperluan mengupayakan APMM adalah tepat pada masanya berikutan lebih 60 peratus aset-aset kapal dan bot peronda agensi terbabit berusia lebih 40 tahun.
Perolehan NGPC ini sudah pasti akan memperkuatkan lagi agensi tersebut bagi mengekang pencerobohan bot nelayan asing dan lain-lain jenayah maritim.
Ini akan dilaksanakan menerusi sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM19.06 bilion yang diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekiranya perolehan dimeterai pada tahun ini, dijangka kapal-kapal tersebut boleh diterima dalam tempoh tiga hingga lima tahun secara berperingkat-peringkat.
Tidak seperti membina kapal peronda bersaiz besar, NGPC yang berada dalam kategori saiz panjang 40 meter tidak kompleks.
APMM ketika ini telah mengoperasikan enam buah NGPC kelas Bagan Datuk yang dibina oleh syarikat tempatan, Destination Marine Services Sdn. Bhd. (Destini Marine).
Perolehan enam NGPC ini yang dibuat lapan tahun lalu melibatkan kos hampir RM400 juta.
Walaupun jenis serta buatan kapal peronda baharu ini belum diputuskan, tetapi kebarangkalian APMM akan memilih NGPC sedia ada.
Ini juga memberi kelebihan daripada aspek selenggaraan dan logistik kerana kapal-kapal merupakan varian yang sama.
Rekod cemerlang Destini Marine menyiapkan pembinaan kesemua enam NGPC mengikut jadual juga membuktikan syarikat tersebut mampu melaksanakan kontrak.
Pemotongan lunas kapal ini dimulakan pada Disember 2015 sebelum kapal pertama dilancarkan dua tahun kemudian di limbungan syarikat tersebut di Pelabuhan Klang, Selangor.
NGPC kelas Bagan Datuk ini dibina berasaskan kapal peronda rekaan firma perkapalan Jerman, Fassmer Group.
NGPC kelas Bagan Datuk berukuran 45 meter panjang dengan kelebaran 7.7 meter serta mampu berlayar dengan kelajuan 24 knot.
Ia boleh beroperasi selama 10 hari di laut tanpa ulang bekal bagi tugas penguatkuasaan serta tugas carilamat.
Persenjataan utama kapal ialah selaras meriam 30 milimeter Aselsan manakala kelengkapan lain seperti bot RIB, kamera pemantauan yang mampu mengambil gambar siang dan malam dan dron bagi tinjaua jarak jauh.
NGPC juga memiliki kelengkapan dalam mengendalikan tumpahan minyak secara komprehensif.
Dengan jangkaan APMM bakal menerima kapal ronda pesisir (OPV) pertama pada penghujung tahun ini, maka kehadiran sembilan NGPC menyuntik moral kepada warga agensi itu.
Bagi perolehan bot pemintas pula, terdapat pelbagai pilihan dan variasi untuk dipilih APMM bersesuaian dengan kehendak operasinya.
Antara berpotensi ialah Gading Marine Sdn. Bhd. dengan rekaan bot pemintas laju FIC G2000 MKII sepanjang 18 meter.
Bot pemintas FIC G2000 MKII sesuai dengan kapasitinya sebagai FIC versi terkini yang ditambah baik dengan dilengkapi tenggekkan senjata berkaliber 12.7mm.
Tahun lalu APMM menerima 30 bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta berukuran 12 meter bagi tugas penguatkuasaan dan operasi mencari dan menyelamat di sepanjang perairan.
Sehubungan itu, perolehan aset-aset NGPC dan bot pemintas ini nanti akan memperkasakan lagi penguatkuasaan untuk membanteras kesalahan-kesalahan dalam Zon Maritim Malaysia. - DagangNews.com