Belanjawan 2024: Peruntukan besar diperlukan bagi tingkatkan usaha martabat Bahasa Melayu - ABIM | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: Peruntukan besar diperlukan bagi tingkatkan usaha martabat Bahasa Melayu - ABIM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan meningkatkan usaha memartabatkan Bahasa Melayu dengan menyalurkan peruntukan lebih besar bagi merangsang program penyelidikan serta pembangunan melalui pembentangan Belanjawan 2024.

 

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, peruntukan lebih besar boleh digunakan bagi pelaksanaan program penterjemahan yang lebih agresif membabitkan istilah semasa serta penerbitan bahan ilmiah, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

 

Katanya, pelbagai program wacana serta pemahaman karya agung dalam Bahasa Melayu juga dapat dilaksanakan, untuk membentuk jati diri dalam kalangan generasi muda berdasarkan kepada warisan budaya negara ini.

 

"Hasil daripada program penyelidikan dan pembangunan ini juga boleh dikembangkan kepada usaha jangka panjang untuk menerbitkan kamus Bahasa Melayu antarabangsa meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei dan rantau nusantara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen esok.

 

Menurut Muhammad Faisal, Belanjawan 2024 untuk memperkasa Bahasa Melayu juga perlu meliputi usaha 'membumikan' Bahasa Kebangsaan sehingga ke akar umbi khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

Katanya, ia termasuk membiayai penerbitan serta penyebaran majalah, novel serta buku-buku ilmiah yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu serta berunsur nilai-nilai positif kepada masyarakat.

 

 

abim
Muhammad Faisal Abdul Aziz

 

 

"Institusi serta agensi berkaitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diperkasakan peranannya sehingga ia dapat mempengaruhi pelaksanaan dasar yang menyentuh kedudukan serta serta Bahasa Melayu sesuai dengan peruntukan yang ditetapkan dalam Perkara 152," katanya.

 

Tambah beliau, usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu juga diperkasakan menerusi jalur industri kreatif dengan melibatkan syarikat korporat serta pempengaruh dalam aktiviti kebahasaan, untuk membolehkan penghasilan bahan kandungan dalam Bahasa Melayu dapat ditingkatkan.

 

"Penguatkuasaan penggunaan Bahasa Malaysia (baku) dalam penghasilan bahan kandungan, penyiaran dan pengiklanan perlu dilaksanakan di samping pelbagai inisiatif serta galakan yang lain," katanya. - DagangNews.com