‘Beli’ saham EcoWorld, ‘pegang’ saham EcoWorld International - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

‘Beli’ saham EcoWorld, ‘pegang’ saham EcoWorld International - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kedua-dua syarikat pemaju hartanah, EcoWorld Development Berhad (EcoWorld) dan EcoWorld International Berhad (EWI) menerima penarafan saham berbeza daripada dua firma penyelidikan. 

 

MIDF Research menyarankan untuk ‘beli’ saham EcoWorld sementara EWI menerima penarafan ‘pegang’ oleh CGS-CIMB. 

 

Susulan prestasi kewangan EcoWorld yang diumumkan semalam melebihi jangkaan MIDF, firma penyelidik itu menaikkan sasaran harga (TP) kumpulan syarikat berkenaan kepada RM0.64 dengan jangkaan perolehan lebih baik pada tahun hadapan.

 

“Kami meningkatkan jangkaan perolehan tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 11.1% dengan mengambil kira jualan hartanah yang lebih tinggi daripada ramalan pada FY20.

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap jualan hartanah baharu yang memberangsangkan serta penilaian menarik,” kata MIDF dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam prestasi FY20, pendapatan bersih EcoWorld bernilai RM239.8 juta lebih daripada jangkaan MIDF sehingga 117%.

 

Perolehan tinggi itu didorong oleh jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku keempat 2020 (4Q20). 

 

Baca : COVID-19 ‘heret’ hasil FY20 Ecoworld susut RM466 juta

 

Sementara itu, bagi kumpulan syarikat EWI yang membangunkan hartanah di luar negara, CGS-CIMB mengekalkan sasaran harga (TP) kepada RM0.50. 

 

“Kami mengekalkan saranan ‘pegang’ memandangkan kami menjangkakan penurunan perolehan memasuki tahun kewangan 2021 hingga 2023 susulan pengiktirafan projek yang tidak menentu,” kata CGS-CIMB. 

 

Jualan hartanah FY20 kumpulan syarikat itu merudum kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.12 bilion pada tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini menurun daripada unjuran jualan interim baharu sebanyak RM2.2 bilion bagi tahun kewangan semasa kerana penangguhan dalam perjanjian built-to-rent (BTR).

 

Dalam masa sama, GCS-CIMB turut mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi FY20, tetapi meningkatkan EPS pada FY22 sebanyak 658% berdasarkan pelancaran projek baharu dan perubahan dalam garis masa pembinaan. 

 

“Kami menjangkakan perolehan FY21 akan disokong oleh penyerahan unit Wardian yang ada dan permulaan penyerahan unit Yarra One,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com