‘Beli’ saham TNB, saran Maybank IB | DagangNews Skip to main content

‘Beli’ saham TNB, saran Maybank IB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Firma penyelidikan, Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengekalkan saranan ‘beli’ saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM12 sesaham. 

 

Penganalisis di Maybank IB, Tan Chi Wei melihat TNB sebahagian besarnya terlindung daripada situasi turun dan naik permintaan elektrik, dengan kebanyakan pendapatan terkawalnya yang berjumlah kira-kira RM13.8 bilion adalah tetap.

 

Menurut Chi Wei, sebarang kekurangan permintaan elektrik sebanyak 2% membayangkan bahawa sebanyak RM270 juta daripada hasilnya boleh dituntut dari Dana Industri.

 

“Namun, wujud kebimbangan sama ada Dana Industri masih cukup memandangkan harga arang batu kian meningkat setakat ini, dengan rebat tarif masih berterusan dan terdapat kemungkinan pemberian diskaun kepada pelanggan. 

 

“Tambahan pula, dengan keadaan ekonomi yang mencabar, TNB mungkin berdepan hutang lapuk lebih tinggi. Ini berpotensi menurunkan sentimen jangka pendek terhadap sahamnya,” jelas Chi Wei dalam satu nota kajian.

 

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan pada 3 hingga 16 Julai, jana tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia telah menguncup sekitar 6% daripada tempoh PKP penuh pada 1 Jun hingga 2 Julai.

 

Jana tenaga elektrik ini kira-kira 15% lebih rendah daripada kadar ‘normal’, tambah Chi Wei lagi. 

 

Sekiranya permintaan cenderung mengikut jana tenaga elektrik, kata beliau lagi, kedua-dua penguatkuasaan PKP penuh dan sebulan PKPD dijangka menurunkan pertumbuhan permintaan elektrik tahunan sebanyak 2 mata peratusan. 

 

“Ini seterusnya mencetuskan kebimbangan terhadap kadar hutang lapuk dan kecukupan Dana Industri, yang akan menjejaskan sentimen. 

 

“Namun, kami percaya perolehan sepanjang tahun TNB tidak akan terjejas,” tambah Chi Wei.

 

TNB berjaya menangani hutang lapuknya pada tahun lalu dan syarikat utiliti itu telah mengumpulkan beberapa penimbal pendapatan, hasil daripada terma lanjutan Tempoh Kawal Selia Kedua (RP2) yang lebih baik. - DagangNews.com