KUALA LUMPUR 15 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap belia lebih celik dan cakna mengenai sistem demokrasi berparlimen serta peranan sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, seterusnya meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, golongan belia memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutama dalam pemilihan pemimpin negara selaras pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
"Jumlah pengundi belia berusia antara 21 hingga 40 tahun pada 2020 berjumlah 6.2 juta orang iaitu sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar.
"Justeru pembabitan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara adalah petanda positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 yang disiarkan secara langsung di RTM1, hari ini.
Perdana Menteri berkata, negara mencipta sejarah baharu yang mana mana golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 lalu.
Katanya, melalui hak mengundi itu, ia mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, pemimpin belia juga digesa untuk peka terhadap penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) membabitkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
"Pelaksanaan pindaan akta ini dapat meramaikan pemimpin belia di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada belia untuk mengasah bakat kepemimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan pembabitan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan bagi memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri berkata, peranan dan sumbangan golongan itu dalam pembangunan negara yang juga tunjang keutuhan Keluarga Malaysia akan sentiasa dihargai.
Sehubungan itu, beliau berkata bagi menghargai jasa belia, kerajaan akan memperkenalkan kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara tahun ini sebagai inisiatif menyuntik semangat belia untuk terus menyumbang bakti kepada pembangunan negara sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022.
Katanya, berkata, sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi tahun ini.
"Tujuh anugerah itu ialah Ikon Belia Karismatik; Ikon Belia Kelestarian Alam; Ikon Belia Reka Tekno; Ikon Belia Influencer (Media Sosial); Ikon Belia Sanjungan Budi; Ikon Youth-Biz dan Ikon Belia OKU.
"Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara," katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, sambutan HBN tahun ini yang bertemakan 'Ini Masa Kita' mengingatkan semua betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Beliau berkata, tema ini juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda. - DagangNews.com