Belum rancang mohon lanjutan pelepasan cukai automotif - MAA | DagangNews Skip to main content

Belum rancang mohon lanjutan pelepasan cukai automotif - MAA

PARA pengunjung yang hadir ke pusat pameran Proton sebelum pandemik COVID-19. Gambar - Proton

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Persatuan Automotif Malaysia (MAA) belum merancang untuk memohon kerajaan melanjutkan pelepasan cukai jualan automotif.

 

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad menjelaskan bahawa persatuan itu akan membincangkan perkara tersebut dan cuba untuk memohon lanjutan pelepasan cukai jualan itu kelak.

 

“Setakat yang kami tahu, satu-satunya perkara yang akan melonjakkan jualan kenderaan adalah harganya yang turun, dan ini memerlukan insentif (seperti pelepasan cukai jualan automotif),” katanya menurut laporan The Edge.

 

Aishah Ahmad
Aishah Ahmad. - Gambar Bernama

 

Pelepasan cukai itu terbukti mampu melonjakkan jualan automotif, berdasarkan trend peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV).

 

Sekitar Disember tahun lalu, kerajaan melanjutkan pelepasan cukai jualan kenderaan bagi tempoh enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. 

 

Ini membabitkan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) untuk terus memacu momentum perkembangan sektor automotif.

 

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, ia membabitkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan yang dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

 

Bagi CBU import baharu dan CBU import terpakai, pengecualian 50% cukai jualan dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk MPV dan SUV. - DagangNews.com