Bengkel fotografi MPI beri peluang peserta timba ilmu, asah kemahiran  | DagangNews Skip to main content

Bengkel fotografi MPI beri peluang peserta timba ilmu, asah kemahiran 

Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz sebagai tenaga pengajar pada bengkel fotografi anjuran MPI di Cyberjaya, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 6 Okt - Bengkel fotografi anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama portal DagangNews berjaya memupuk pemahaman kepada para peserta dalam era teknologi terkini walaupun persekitaran semasa media sudah berubah dan beralih arah.

 

Ketua Latihan dan Pembangunan Perniagaan MPI, Norlida Jamain berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada jurufoto khususnya dalam bidang pelaporan unit media dan komunikasi dari sesebuah organisasi.

 

"Melihat kepada maklum balas positif para peserta, bengkel ini wajar diteruskan pada masa akan datang, memandangkan MPI sudah lama tidak menganjurkannya berikutan kekangan mendapatkan tenaga pengajar yang memiliki sijil khas seperti yang diwajibkan oleh HRD Corporation kepada penyedia latihan. 

 

"Bengkel ini wajar disahut kerana ia memberi fokus lebih mendalam untuk menjadi lebih kreatif dalam mencipta gambar yang menarik dan memberikan impak kepada khalayak khususnya," katanya.

 

Terdahulu, bengkel fotografi itu menampilkan Editor Media Baharu DagangNews, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz sebagai tenaga pengajar pada program yang diadakan selama dua hari di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya di sini, baru-baru ini.

 

Selain itu, kerjasama strategik kedua-dua pihak menerusi bengkel fotografi bertajuk 'Bekukan Detik Foto: Impak kepada Laporan' itu mewujudkan kesinambungan industri pelaporan berita bergambar.

 

Penganjuran bengkel buat julung kalinya itu berjaya mengumpulkan peserta dari pelbagai jabatan komunikasi agensi kerajaan, badan korporat dan universiti khususnya dalam bidang pelaporan fotografi.

 

 

MPI
(Dari kiri) Eksekutif Pendidikan Yayasan UEM, Muhammad Famizan Ismail; Jurufoto Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Aminuddin Fahmi Abdullah Fadziln, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz, Suzeyanywati Gasinin, Jurufoto Kreatif Sinar Harian, Rosdi Talib dan Jurufoto Bank Negara Malaysia, Farikh Manzora Mohd Nor.

 

 

MPI
Norlida Jamain

 

 

Dalam pada itu, seorang peserta dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Suzeyanywati Gasinin menyifatkan kedatangannya dari Sabah ke bengkel tersebut berbaloi apabila dapat menimba ilmu berguna mengenai fotografi lebih-lebih lagi melibatkan tugasnya sebagai jurufoto bagi program-program di universiti berkenaan.

 

 

MPI
Suzeyanywati Gasinin

 

 

MPI
Johardy Ibrahim (tengah) ketika menjadi panelis pada Forum Media Kebangsaan 2023 anjuran MPI, baru-baru ini.

 

Pada Julai lepas, MPI menganjurkan Forum Media Kebangsaan 2023 bertemakan 'Kemampanan Media: Melangkah ke Hadapan bagi Malaysia Pada Era Digital' yang mana dihadiri oleh Pengarang Urusan DagangNews, Johardy Ibrahim sebagai panelis. - DagangNews.com