KUALA LUMPUR 8 Jun - Benns Chocolate Factory Sdn Bhd, pembuat coklat artisan premium tempatan, melancarkan barisan coklat baharu bagi meraikan biji koko berperisa Malaysia selain menggalakkan kemampanan dan etika berkebun.
Dilancarkan di Kilang Coklat Benns, ia merupakan generasi kedua produk coklat artisan yang premium, diperoleh daripada ladang estet tunggal Malaysia dan buatan sendiri sepenuhnya dengan tumpuan kepada pemakanan sihat, rasa dan tekstur unggul.
Pengarah Urusan Benns Chocolate, Wilfred Ng berkata, pelancaran tersebut merupakan penghormatan kepada keaslian luar biasa koko tempatan dan penerokaan indah dengan rasa tersendiri.
"Coklat Benns berganding bahu dengan Lembaga Koko Malaysia dalam simfoni kerjasama harmoni, memperkukuh asas industri koko negara.
"Bersama-sama kami adalah arkitek rantaian yang tidak terputus, yang menyokong petani koko dan menghasilkan masa depan yang mampan untuk industri itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching dan Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Ramle Kasin.
Wilfred berkata, LKM bekerjasama dengan Benns Chocolate untuk menyokong petani koko tempatan sambil menggalakkan dan membantu mereka dalam meningkatkan kualiti biji koko domestik.
"Benns mengamalkan penglibatan langsung dengan petani koko untuk memastikan mereka menerima imbuhan yang adil atas usaha gigih mereka," katanya.
Tambahnya, syarikat juga berusaha untuk meningkatkan kehidupan mereka yang mengabadikan diri untuk menanam biji koko sempurna, berkongsi kisah ketabahan mereka, dan memberi inspirasi kepada revolusi dalam cara pengguna menikmati serta menghargai coklat. - DagangNews.com