Beri moratorium, bank tidak gulung tikar  | DagangNews Skip to main content

Beri moratorium, bank tidak gulung tikar 

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan

 


KUALA LUMPUR 28 Jun – Institusi kewangan dan perbankan tidak akan gulung tikar sekiranya memberikan moratorium sepenuhnya kepada rakyat yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

 

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan mempertikaikan mengapa pihak kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengarahkan institusi kewangan melaksanakan moratorium kepada golongan B40 dan M40 secara automatik.

 

“Kalau perkara ini dilakukan segera secara automatik, bank-bank ini tidak akan terjejas seperti mana golongan peniaga yang makin parah hari demi hari.

 

“Lanjutan PKP3.0 makin menimbulkan keresahan rakyat yang tidak dapat meneruskan pekerjaan, perniagaan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, apabila pihak kerajaan mengumumkan sesuatu program atau melaksanakan sesuatu dasar
paling penting sampai kepada kumpulan sasar.

 

“Kita amat risau tatkala bantua-bantuan ini lambat sampai kepda kumpulan sasar mereka sudah hidup `nyawa-nyawa ikan’. 

 

"Lebih membimbangkan dengan isu kesihatan mental hingga melibatkan nyawa yang maut,” jelasnya.

 

Dalam isu moratorium ini, katanya, bank-bank ini tidak akan gulung tikar dengan pemberian moratorium dan Kementerian Kewangan yang mengawal BNM juga mempunyai kuasa penuh ke atasnya tetapi tidak berani menggunakan kuasa dan mengarahkan institusi kewangan melaksanakan moratorium secara automatik.

 

“Kita mempunyai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberikan kuasa yang cukup luas kepada kerajaan untuk membuat atau meminda apa sahaja undang-undang atau statut bagi mengarahkan moratorium.

 

“Ironinya, kerajaan menggunakan kuasa meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi, amat pelik untuk membantu M40, kerajaan hilang kuasa pula.

 

"Kementerian kewangan tidak berani menggunakan kuasa yang sama untuk kebaikan dan melegakan rakyat,”
katanya.

 

Tambah Sohaimi, di bawah Seksyen 5 Akta Bank Negara (2009) memperuntukkan fungsi BNM untuk mengatur dan mengawal selia institusi kewangan dan Seksyen 72 pula memberikan kuasa untuk membuat apa-apa polisi monetari dan kewangan dan ini termasuklah polisi moratorium pinjaman.

 

“Kita percaya ini sangat dinantikan kumpulan B40 dan M40 kerana pinjaman mereka dengan bank tetap
berjalan. 

 

"Sekarang ini mereka tiada pendapatan, hilang kerja, gaji dipotong, jadi pihak kerajaan perlu sedar dan prihatin sebahagian besar daripada pendapatan mereka ini habis membayar hutang kepada bank," katanya.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir esok tidak akan ditamatkan, malah diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.

 

Susulan langkah itu juga, kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada petang ini atau Selasa. - DagangNews.com