Berjaya Assets catat hasil Q2 lebih rendah, sukar jangka operasi perniagaan kembali ke paras sebelum pandemik | DagangNews Skip to main content

Berjaya Assets catat hasil Q2 lebih rendah, sukar jangka operasi perniagaan kembali ke paras sebelum pandemik

KUALA LUMPUR 15 Feb - Berjaya Assets Bhd. merekodkan kerugian bersih yang lebih kecil pada suku kedua (Q2) berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM1.97 juta berbanding RM13.27 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan bagaimanapun susut kepada RM41.38 juta daripada RM43.95 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pendapatan lebih rendah pada suku semasa itu terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah menerusi segmen perniagaan perjudian dan pelaburan hartanah. 

 

Namun, ia dikurangkan dengan jualan tiket taman tema yang lebih tinggi dijana menerusi segmen perniagaan hotel dan rekreasi ekoran pembukaan semula aktiviti perniagaan ketika fasa keempat Pelan Pemulihan Negara di bawah suku semasa. 

 

Untuk tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM19.3 juta, lebih rendah daripada tempoh sama tahun lalu sebanyak RM20.83 juta.

 

Ia menyaksikan pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM62.76 juta berbanding RM94.71 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Memandangkan cabaran besar disebabkan pandemik yang berpanjangan, kumpulan tidak dapat meramalkan dengan pasti, bila operasi perniagaannya akan kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19.

 

"Namun, lembaga pengarah menjangkakan prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 kekal mencabar. 

 

"Ini memandangkan kumpulan akan terus menangani kesan buruk terhadap ekonomi negara yang timbul daripada wabak dan menyesuaikan operasi perniagaannya dalam norma kehidupan baharu ke arah peringkat endemik pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com