Berlaku kejadian tidak diduga? 'GAP-RTIV' AXA bantu pemilik beli kereta baharu sekali lagi | DagangNews Skip to main content

Berlaku kejadian tidak diduga? 'GAP-RTIV' AXA bantu pemilik beli kereta baharu sekali lagi

Guaranteed Asset Protection – Return to Insured Value (GAP-RTIV)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 April - Peneraju pengurusan insurans dan aset, AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) melancarkan pelan Guaranteed Asset Protection – Return to Insured Value (GAP-RTIV) untuk melindungi nilai penuh kenderaan jika berlaku kejadian tidak diduga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, kereta yang baru dibeli dianggarkan akan susut nilai sekitar 10-20% hanya selepas satu tahun pembelian.

 

Katanya, sebarang kemalangan pasti akan memberi kesan kepada pemilik kenderaan dari segi kewangan dan emosi. 

 

Menyedari wujudnya jurang perlindungan dalam pasaran, AXA telah mempertingkatkan produknya untuk memberi sokongan kepada pelanggan.

 

.

 

"Sekiranya berlaku kerugian menyeluruh, pemilik kereta mungkin tidak dapat memperoleh kembali jumlah sama yang telah dibayar oleh beliau untuk keretanya akibat susut nilai.

 

"Oleh itu, matlamat kami adalah untuk melindungi pemilik kenderaan daripada gangguan secara tiba-tiba ini serta memastikan mereka tidak perlu menanggung beban untuk membayar nilai tertunggak kenderaan yang tidak diinsuranskan, sebaliknya agar mereka dapat pulih dengan cepat dan mampu membeli kenderaan baharu sebagai ganti," katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui pelan GAP-RTIV, pemilik kenderaan akan diberi bantuan dan perlindungan kewangan terhadap sebarang kekurangan kewangan atau kemungkinan pinjaman sewa beli yang belum selesai jika berlaku kerugian menyeluruh yang disebabkan oleh kerosakan, kebakaran atau kecurian secara tidak sengaja.

 

Pelan tersebut melindungi perbezaan antara pembayaran tuntutan daripada polisi insurans motor komprehensif dan nilai kenderaan yang diinsuranskan semasa pembelian polisi GAP-RTIV.

 

Ia sekali gus membolehkan pemilik kereta membeli kenderaan yang baharu sekali lagi sebagai ganti.

 

"Dengan pelan perlindungan menyeluruh yang memberikan perlindungan penuh sehingga 5 tahun, pemilik kenderaan dapat mendaftar dengan mudah hanya dengan satu pembayaran awal yang berpatutan.

 

"AXA juga menjanjikan pemprosesan dan penyelesaian tuntutan segera selepas penerimaan dokumen yang diperlukan serta penyelesaian penuh tuntutan insurans motor komprehensif," ujarnya lagi.- DagangNews.com