BERNAS tawar khidmat logistik menerusi pembelian lori penghantaran | DagangNews Skip to main content

BERNAS tawar khidmat logistik menerusi pembelian lori penghantaran

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - BERNAS Logistics Sdn Bhd, salah sebuah anak syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bakal menjadi antara satu lagi pemain di dalam industri logistik berkaitan makanan di negara ini.

 

BERNAS Logistics yang ditubuhkan pada pertengahan 2022 turut dijangka akan mengambil alih operasi pelanggan utama yang telah dikenalpasti, meningkatkan aktiviti pergudangan, pengedaran serta penghantaran akhir di seluruh negara menerusi pelan dua tahun yang telah dirangka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Logistics, C Kuganesh berkata, pihaknya akan melabur di dalam aset, sistem dan kepakaran sumber manusia agar perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan adalah selari dengan matlamat mereka.

 

“Dalam masa yang sama, BERNAS Logistics turut membangunkan skala keupayaan dan kapasiti dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada para pelanggan kami," katanya ketika sesi penyerahan 9 lori Isuzu pelbagai muatan oleh Automotive Corporation Malaysia Sdn Bhd (ACM) kepada BERNAS Logistics, semalam.

 


Turut hadir Pengarah Kumpulan Urusan BERNAS, Datuk Haris Fadzilah Hassan; Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Akkbar Danial dan Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial, Mohamad Radzi Omar.

 

 

bernas
(Dari kiri) Mohamad Radzi Omar, Akkbar Danial menyerahkan replika kunci kepada Datuk Haris Fadzilah Hassan (dua, kanan) dan C Kuganesh (kanan).

 

 

Katanya, pemilihan ACM adalah satu langkah strategik yang berasaskan potensi hubungan kerjasama jangkamasa panjang dan ACM merupakan nama yang kukuh dalam industri kenderaan komersial. - DagangNews.com