"Bertegas tangani scam pelaburan, jangan sampai kita jadi macam Nigeria" - Dr Nazri Khan | DagangNews Skip to main content

"Bertegas tangani scam pelaburan, jangan sampai kita jadi macam Nigeria" - Dr Nazri Khan

Dr Nazri Khan atau DDNK juga merupakan pengulas pasaran saham yang terkenal dengan tagline 'Tak Handsome Tak Apa, Janji Kaya'. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Sept - Pihak berkuasa digesa bertindak segera menangani jenayah scam pelaburan yang kini cukup berleluasa di media sosial bagi mengelakkan Malaysia menjadi Nigeria kedua yang dikenali sebagai pusat ekonomi gelap.

 

Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan berkata, ketika ini terlalu banyak kandungan oleh individu tidak bertanggungjawab termasuklah 'guru pelaburan jadian' yang bukan sahaja memberikan nasihat salah bahkan ada yang bertujuan scam.

 

Mengambil contoh seorang peserta program pendidikan pelaburan yang dikendalinya, individu tersebut dan keluarganya rugi hampir RM800,000 akibat mengikut tunjuk ajar mereka yang tidak bertauliah dalam bidang pelaburan.

 

 

"Pihak pengawal selia kena fokus lebih kepada isu scam. Zaman sekarang zaman scam. Jumlah kes jenayah komersial umumnya pun berganda saban tahun. 

 

"Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan dalam hal tertentu, Bursa Malaysia diharap dapat melihat perundangan yang mengendalikan latihan dan skim pelaburan tanpa lesen ini bagi mengelakkan lebih ramai jadi mangsa," katanya kepada DagangNews dalam satu pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.

 

Dr Nazri Khan yang mengalu-alukan hasrat kerajaan mengenakan lesen pengendali media sosial juga mencadangkan beberapa tindakan yang wajar diambil selain menurunkan kandungan oleh mereka yang tidak bertauliah.

 

"Mungkin mereka yang sengaja melabur dalam pelaburan scam akibat ikut individu tidak bertauliah juga perlu diambil tindakan. Bukan sahaja yang mengajar tidak berlesen itu didenda, yang melabur pun kena denda supaya pengajaran agar mereka selidik dulu sebelum melabur. 

 

"Banyak sangat kandungan merapu dalam Tik Tok. Yang mengajar pun tidak trade," ujarnya sambil mengharapkan ada satu portal antiscam merentas agensi berkaitan yang menyediakan pengkalan data maklumat scam bagi dirujuk orang ramai. . 

 

Katanya, masalah scam sangat kronik apatah lagi dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), deep fake dan sebagainya hinggakan banyak tokoh disalah guna oleh penjenayah scam.

 

"Ini ekonomi gelap yang cecah berbilion ringgit. Kalau tak kawal, saya takut jadi macam Nigeria," tegasnya.

 

Anak Malaysia pertama yang mengungguli Kejohanan Pedagang Dunia itu juga berharap ada pihak yang dapat menggandingkan antara pengurus wang bertauliah dengan ahli akademik bagi bersama-sama membantu meningkatkan tahap celik rakyat berkenaan scam pelaburan. 

 

ddnk
Ketua Pegawai Pelaburan Berjaya Mutual, Datuk Dr Nazri Khan

 

Kata Dr Nazri, bengel, seminar atau kelas pelaburan menerusi sinergi profesional dan akademik penting termasuk kepada golongan muda yang mana mereka sangat terdedah dengan kandungan media sosial seperti TikTok.

 

"Penting untuk kita rujuk yang bertauliah sebab mereka profesional dan berpengalaman. Tahu turun naik pasaran. Bukan senang nak dapat lesen daripada SC. Mereka yang bertauliah adalah mentor terbaik bagi yang berminat dalam pelaburan.

 

"Yang tak bertauliah biasanya adalah orang desperado, mereka bukan nak buat duit daripada pelaburan tetapi tujuan mereka nak buat duit daripada scam dan yuran latihan yang entah apa-apa mereka ajar itu.

 

"Nak tahu senang sahaja, boleh rujuk laman web SC. Namun, ada juga yang sebaliknya," kata Dr Nazri yang terkenal dengan tagline 'tak handsome tak apa janji kaya'.

 

Tambah beliau, genersi muda atau Gen Z perlu belajar ilmu pelaburan daripada profesional bertauliah kerana ini memberi peluang untuk mewujudkan pendapatan kedua dalam situasi ekonomi global semasa.

 

Katanya, pertamanya tanpa perlu berhenti bekerja mereka boleh meraih pendapatan tambahan dan pendapatan pasif yang jika apa-apa berlaku kepada ekonomi termasuklah pemberhentian pekerjaan, ini jadi jaringan keselamatan pendapatan selain memberikan idea bagaimana pelaburan dapat membantu tempoh persaraan kelak.

 

"Kita nak lahirkan generasi yang bijak kewangan dan bijak pelaburan. Apatah lagi duit kini bukan hanya wang kertas tetapi ada wang kripto dan sebagainya.

 

"Dalam bulan kemerdekaan ini, kita ambil semangat merdeka untuk kita memerdekakan ekonomi. Zaman sekarang era demokrasi wang. Yang miskin juga boleh jadi kaya. Jika gaji naik tak sepadan inflasi, maka kena pandai cari peluang sama ada bekerja sampingan atau pendapatan pasif melalui pelaburan.  

 

"Bukan dengan saya seorang yang mereka boleh belajar tetapi ramai lagi pengurus kewangan bertauliah yang boleh dirujuk. Jika dibimbing oleh profesional, peserta akan dapat satu set minda berbeza mengenai pelaburan termasuk belajar bagaimana hendak berdepan situasi keuntungan dan kerugian," katanya.

 

Justeru, menjelang pembentangan Belanjawan 2025 besar harapan beliau untuk melihat kerajaan memberi penekanan untuk memberikan ilmu kewangan dan pelaburan yang terbaik kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira umur, jantina dan demografi.

 

Beliau mengambil contoh Korea Selatan dan Singapura yang maju tanpa hasil bumi kerana rakyatnya mempunyai tahap kesedaran kewangan yang tinggi hasil ilmu yang didedahkan. - DagangNews.com