Beshom teroka peluang pengembangan segmen MLM di pasaran antarabangsa, kata TA Research | DagangNews Skip to main content

Beshom teroka peluang pengembangan segmen MLM di pasaran antarabangsa, kata TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Beshom Holdings Berhad sedang meneroka peluang pengembangan segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM) di pasaran luar negara, kata TA Research.

 

Katanya, kumpulan itu sedang berhubung dengan ahli mereka di beberapa negara termasuk Korea, Arab Saudi dan China bagi meluaskan potensi pengembangan segmen itu.

 

Bagi mewujudkan kesedaran pasaran, Beshom menyertai pameran makanan di negara-negara tersebut dalam usaha meningkatkan pendedahan terhadap produknya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan penglibatan seperti itu boleh menghasilkan pesanan baharu untuk segmen MLM menjelang akhir 4QFY24 atau awal 1HFY25.

 

"Kami percaya pelan pengembangan antarabngsa ini masih dalam peringkat awal, di mana Beshom hanya melakukan kajian kebolehlaksanaan ke atas pasaran pengguna ini.

 

"Kami juga percaya ini adalah pasaran yang sangat mencabar dengan pulangan yang sangat kecil disebabkan saingan daripada pasaran sedia ada," katanya dalam satu nota kajian.

 

TA Research berkata, kumpulan itu telah menjenamakan semula dan mengubah suai sebuah kedai rangkaian Hai-O (cawangan 1Utama) dan merancang untuk mengubah suai cawangan lain pada FY24 bagi menarik lebih ramai pelanggan muda .

 

"Kami mengunjurkan bahawa program penjenamaan semula itu akan menarik kehadiran lebih ramai pelanggan serta meningkatkan jualan runcit kumpulan sebanyak RM36 juta dan RM39 juta bagi FY25 dan FY26 mewakili 21% daripada hasil kumpulan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan FY24 sebanyak 19.9% disebabkan jualan yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

TA Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) yang disemak sebanyak 80 sen sesaham. - DagangNews.com