Betamek, M&A Securities meterai perjanjian taja jamin bagi penyenaraian ke Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Betamek, M&A Securities meterai perjanjian taja jamin bagi penyenaraian ke Pasaran ACE

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), Betamek Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. sempena pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) untuk Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 67.5 juta saham baharu dalam Betamek, mewakili 15% daripada modal saham yang diperbesarkan dan tawaran untuk penjualan 45 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Sejumlah 22.5 juta saham baharu akan disediakan kepada orang ramai melalui pengundian manakala 13.5 juta saham baharu untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Betamek dan baki 31.5 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

"Berdasarkan perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 36 juta saham baharu yang disediakan kepada rakyat Malaysia" katan Betamek dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Hasil daripada IPO akan digunakan untuk membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembangunan produk baharu dan untuk mengembangkan lagi ruang pejabat R&D Betamek, penyimpanan bahan mentah dan kemudahan sampingan untuk menampung pertumbuhan masa depannya.

 

Sebahagian daripada hasil itu juga akan digunakan untuk memperoleh mesin dan peralatan untuk kilang sedia ada di Rawang.

 

Betamek menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Oktober 2022.

 

Pengarah Urusannya, Mirzan Mahathir berkata, perjanjian itu datang pada masa yang sesuai kerana syarikat itu bersedia untuk mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk kenderaan baharu dan pelancaran model kereta baharu daripada pelanggan automotif utamanya.

 

"Kami merancang untuk mengembangkan rangkaian penawaran produk kami yang berkaitan dengan elektronik automotif untuk model dan varian kereta masa hadapan. 

 

"Ini akan membolehkan kami menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam industri EMS automotif pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com