BigLife : Tekad AirAsia raih pendapatan utama selain penerbangan - MIDF | DagangNews Skip to main content

BigLife : Tekad AirAsia raih pendapatan utama selain penerbangan - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac -  Langkah AirAsia Group Berhad (AirAsia) untuk menerajui platform ganjaran, BigLife Sdn. Bhd. (BigLife) secara solo menggambarkan kesungguhan kumpulan syarikat itu untuk meraih pendapatan utama selain daripada model perniagaan penerbangan tradisional. 

 

Menerusi pengambilalihan 20% baki saham dalam BigLife, MIDF Research menjangkakan AirAsia mempunyai ruang untuk meraih aliran pendapatan utama dalam perniagaan pelancongan, di samping mengekalkan kelebihan daya saingnya. 

 

Namun, buat masa ini, MIDF melihat masih terlalu awal untuk menganggarkan sumbangan pendapatan dari segmen berkenaan kerana perniagaannya masih mengalami kerugian dan kecil berbanding dengan keseluruhan kumpulan.

 

“Walau apa pun, kami melihat perkembangan ini dengan baik kerana ia menunjukkan daya maju keusahawanan pengurusan, semangat inovatif dan pendekatan berhati-hati ketika pandemik (COVID-19) merosakkan industri penerbangan,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Semalam, AirAsia mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Digital Sdn Bhd (AirAsia Digital) mengambil alih biasa berjumlah 1,665,000 baki saham daripada Aimia Holdings UK II Limited (Aimia).

 

Menerusinya, AirAsia meningkatkan pemilikan kepada 100% ekuiti untuk Program Kesetiaan BIG Rewards oleh BigLife.

 

Pengambilalihan ekuiti itu akan menyaksikan terbitan saham berjumlah 85.86 juta atau tambahan sebanyak 2.2% kepentingan dalam AirAsia untuk membiayai langkah berkenaan.

 

Ini akan meningkatkan kepentingan ekuiti Aimia kepada kira-kira 3.1% dalam AirAsia setelah transaksi tersebut selesai, daripada kepentingan semasa berjumlah 0.93%, berikutan penyertaan Aimia dalam tawaran persendirian tahap kedua AirAsia baru-baru ini. 

 

Transaksi tersebut dijangka selesai sebelum akhir bulan Mei 2021, melibatkan nilai pembelian AS$25.0 juta atau kira-kira RM103.0 juta pada kadar pertukaran mata wang AS$1.0/RM4.1215. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘jual’ saham AirAsia dengan harga sasaran (TP) masih pada kadar RM0.37 sesaham. 

 

Dari segi prospek industri penerbangan, MIDF percaya landasan pemulihan sektor berkenaan sangat tidak menentu walaupun terdapat keyakinan ia akan bertambah baik kelak. 

 

Firma penyelidikan itu menggariskan tiga faktor yang akan menyumbang kepada penilaian MIDF ke atas pemain industri penerbangan termasuk kawalan sempadan, sekatan pelancongan dan langkah kuarantin; keyakinan kerajaan dan pengguna; serta daya maju kewangan.

 

“Kami berpendapat bahawa memandangkan garis masa pemulihan mungkin mengambil masa lebih lama daripada tahun 2021 dan 2022, kekuatan pemain penerbangan tetap mencetuskan persoalan,” ujarnya lagi. 

 

Berdasarkan situasi itu, MIDF mendedahkan bahawa AirAsia masih lagi belum mencapai sasaran kutipan dananya antara RM2.0 billion hingga RM2.5 bilion.

 

Katanya, AirAsia setakat ini baru menyelesaikan tawaran persendirian ekuiti bagi 2 tranche bernilai sekitar RM336.0 juta. 

 

“Selain daripada itu, kumpulan syarikat juga berjaya meraih RM300 juta pinjaman daripada Sabah Development Bank, tetapi diperuntukkan untuk membiayai pembangunan projek-projek tertentu di Sabah.

 

“Walau bagaimanapun, perniagaan teras masih dalam keadaan teruk kerana trafik penumpang kekal minimum. Keupayaan kumpulan syarikat tetap diuji setelah beberapa bulan berlalu dalam keadaan teruk ini dan dijangka terus kekal dalam keadaan ini sekurang-kurangnya bagi jangka waktu terdekat,” tambah MIDF.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan berpendapat bahawa dana baharu yang lebih besar ditujukan khas untuk perniagaan penerbangan AirAsia diperlukan untuk membantu syarikat itu untuk terus bertahan.

 

Setakat 11.23 pagi, nilai saham AirAsia menyusut 2 sen kepada RM1.17. - DagangNews.com