Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Julai - BigPay mengumumkan kerjasama dengan gabungan global baharu, ‘Every Action Counts’ untuk menggalakkan amalan kewangan mesra alam oleh para pengguna.
Kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran perubahan iklim dan biodiversiti di Malaysia yang akan dimulai dengan projek penanaman pokok hutan di Borneo pada suku kedua tahun 2021, menurut BigPay dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas BigPay, Salim Dhanani berkata, penyertaan aplikasi itu dalam gabungan ‘Every Action Counts’ merupakan langkah pertama bagi menggalakkan pengguna mereka di Asia Tenggara untuk mengamalkan kegiatan kewangan yang lebih mesra alam.
“BigPay percaya bahawa setiap usaha walau sekecil mana pun adalah penting dan memberi impak yang besar dalam kelestarian alam sekitar.
“Kami percaya penjagaan alam sekitar boleh dipupuk dalam tingkah laku kita pada setiap hari dan bukan hanya setahun sekali, dan cara terbaik adalah dengan menerapkan aspek kelestarian dalam setiap perkhidmatan kewangan yang dilakukan,” katanya.
Inisiatif korporat itu mempunyai potensi untuk memacu kelestarian alam sekitar di Malaysia dengan sasaran untuk mengurangkan sebanyak 45% pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030.
BigPay sedang berusaha untuk menawarkan produk dan memperkasa pengalaman pengguna dalam mengamalkan gaya hidup ‘hijau’ melalui aktiviti kewangan harian mereka.
Ini bermakna, setiap aktiviti mereka akan menyumbang kepada inisiatif penanaman pokok di seluruh Malaysia.
‘Every Action Counts’ terdiri daripada rangkaian global termasuk syarikat kewangan, e-dagang, digital dan barangan dan perkhidmatan pengguna serta pakar kelestarian, pemuliharaan alam semula jadi dan biodiversiti.
Mereka akan berkongsi cara terbaik untuk menggalakkan individu mengambil langkah positif dalam kehidupan harian mereka untuk menjalani gaya hidup lebih mesra alam.
Jurucakap ‘Every Action Counts’ dan Pengarah Eksekutif Green Digital Finance Alliance, Marianne Haahr berkata, gabungan baharu itu mahu memanfaatkan teknologi dan kerjasama secara kreatif untuk meningkatkan kesedaran dan menjana usaha mesra alam kepada 1 billion pengguna menjelang 2025.
“Kami ingin menjadikan gaya hidup para pengguna sebagai pemacu pemuliharaan dan penjanaan alam.
“Kami meramalkan masa depan di mana perkembangan ekonomi bukan sahaja boleh wujud bersama malah menyokong pemuliharaan alam dan usaha iklim, dan atas sebab itulah kami bergandingan dengan rakan kongsi yang boleh membantu memperjuangkan visi ekonomi global kita,” katanya.
Antara rakan kongsi yang menyertai pelancaran gabungan itu termasuk Ant Group (China), BBVA (Sepanyol), BigPay (Malaysia), DANA (Indonesia), FNZ (UK), GCash (Filipina), Lazada Group (Singapura), Mastercard (AS), MTN (Afrika Selatan), Paytm (India), SANLAM (Afrika Selatan), dan Telenor Microfinance Bank (Pakistan). - DagangNews.com