Bilangan penganggur terus menurun kepada 584,600 orang pada Mei 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Bilangan penganggur terus menurun kepada 584,600 orang pada Mei 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Bilangan penganggur terus menurun kepada 584,600 orang dengan kadar pengangguran 3.5% pada Mei 2023 berbanding 586,900 orang bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Dari segi prestasi keseluruhan bagi Mei 2023, DOSM berkata pasaran buruh dilihat terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil, mencerminkan peningkatan bilangan tenaga buruh berikutan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.

 

DOSM melaporkan bahawa bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mencatatkan trend menaik, dengan peningkatan 0.2% kepada 16.86 juta orang berbanding 16.84 juta orang dalam April 2023 dan kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70% seperti pada bulan sebelumnya

 

Jabatan itu turut melaporkan bahawa bilangan penduduk bekerja dalam Mei 2023 meningkat secara berterusan, dengan pertambahan 0.2% kepada 16.28 juta orang berbanding 16.25 juta orang pada April 2023.

 

Mengulas mengenai kedudukan guna tenaga, DOSM berkata 75.5% daripada jumlah penduduk bekerja pada Mei 2023 adalah dalam kategori pekerja, yang meningkat sebanyak 0.1% bulan ke bulan kepada 12.29 juta orang daripada 12.28 juta orang pada April 2023.

 

Begitu juga penduduk bekerja sendiri yang turut meningkat 0.5% kepada 2.94 juta orang berbanding bulan sebelumnya sebanyak 2.92 juta orang.

 

 

dosm

 

 

“Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend positif dalam bilangan penduduk pekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan maklumat dan komunikasi. Trend yang sama dalam guna tenaga juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian,” tambahnya.

 

Menurut DOSM, pada Mei 2023, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.5% daripada jumlah penganggur, terus berada dalam trend menurun dengan pengurangan 0.3% kepada 470,400 orang daripada 471,900 orang dalam bulan sebelumnya.

 

Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, DOSM berkata mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.9%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.7%.

 

Pada masa yang sama, jabatan itu berkata mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif, turut menurun sebanyak 0.8% merekodkan 114,200 orang berbanding 115,100 orang sebelumnya.

 

“Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11% dengan jumlah seramai 313.0 ribu penganggur belia. Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 7%, dengan 448,600 penganggur belia,” tambahnya.

 

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh pada Mei 2023, DOSM berkata disebabkan ekonomi Malaysia dijangka berdepan cabaran berikutan kedudukan ekonomi global yang tidak menentu, seperti digambarkan oleh indikator Indeks Pelopor Malaysia pada April 2023, pasaran buruh juga dilihat akan berdepan dengan ketidaktentuan.

 

“Oleh itu, tenaga buruh dijangka berkembang pada kadar yang sederhana dalam beberapa bulan yang akan datang,” katanya.  - DagangNews.com