BIMB Investment lancar dana ekuiti ESG patuh syariah | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment lancar dana ekuiti ESG patuh syariah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, melancarkan dana feeder ekuiti syariah ESG global, Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity (BGSEF).

 

Dana Sasaran Arabesque Q3.17 SICAV - Q3.17 Sustainable Global Equity bertujuan menawarkan pelabur pendedahan global yang pelbagai sehingga 100 saham Syariah-ESG setiap masa. 

 

Jelas BIMB Investment, BGSEF telah memenuhi syarat sebagai dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pelabur berkemungkinan akan terus memberi perhatian kepada syarikat yang mempunyai kelayakan ESG terbaik, kerana bukti menunjukkan bahawa mereka mempunyai daya tahan ketika pandemik.

 

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla
Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

“COVID-19 telah memberi kita kesedaran bagaimana krisis kemampanan mampu mempengaruhi ekonomi, perniagaan dan masyarakat secara keseluruhan. Ini merupakan contoh apa yang mungkin berlaku jika kita terus ditimpa oleh kejutan kemampanan sebegini. 

 

“Ia tidak semestinya berkaitan perubahan iklim. Krisis COVID-19 juga menunjukkan bahawa syarikat yang mempunyai kelayakan ESG yang tinggi telah menunjukkan prestasi yang lebih baik tahun ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Sebelum itu, Mohamed Ridza telah melancarkan dana itu dalam satu upacara secara maya hari ini.

 

Hadir sama termasuk Pengerusi Arabesque Group, Georg Kell; Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi; dan Rakan Kongsi Pengurusan Aset Arabesque di United Kingdom,Gabriel Karageorgiou.

 

Tambah Mohamed Ridza, ramai pelabur telah menyedari bahawa memasukkan faktor ESG di pasaran modal adalah keputusan perniagaan yang baik dan menjurus kepada pasaran yang lebih mampan dan menghasilkan masyarakat lebih baik. 

 

Katanya, prestasi mampan korporat yang baik dikaitkan dengan tadbir urus korporat yang baik, akan membawa kepada peningkatan keputusan kewangan serta penghasilan pulangan kewangan yang lebih bagus.

 

"BGSEF menyepadukan pertimbangan ESG dalam proses pelaburannya dan menerapkan pemeriksaan aktif untuk patuh syariah dan sejajar dengan prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) dalam proses pembinaan portfolio pelaburan. 

 

“ESG dan pelaburan patuh syariah merupakan falsafah teras kami. Memandangkan situasi pandemik global kini, kami berpendapat bahawa COVID-19 akan meninggalkan kesan yang ketara kepada pasaran modal untuk tahun-tahun yang akan datang. 

 

“Ia membuatkan pelaburan ESG semakin relevan untuk pelabur masa kini yang ingin memberi kesan positif kepada dunia secara keseluruhannya,” ujarnya lanjut.

 

BGSEF menggunakan Arabesque S-Ray®, alat unik yang menyediakan penyelesaian data merentasi pasaran modal global dalam menilai prestasi mampan syarikat di seluruh dunia. 

 

Teknologi proprietari yang dibangunkan oleh Arabesque S-Ray itu menggabungkan lebih 200 metrik ESG dengan isyarat berita daripada lebih 30,000 sumber merentasi 170 negara secara sistematik.

 

Bercakap mengenai pengukuran data ESG melalui teknologi, Kell berkata teknologi telah lama menjadi pendorong utama di sebalik pergerakan kemampanan dengan meningkatkan kecekapan sumber dan memudahkan pencarian model perniagaan baharu.

 

Georg Kell
Georg Kell. - Gambar : georgkell.com

 

“Bagi pelabur, teknologi – yang selalunya berdasarkan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (A") - telah menjadi asas pelaburan ESG, yang mewujudkan lebih ketelusan dan mengukur prestasi faktor bukan tradisional yang mempengaruhi prestasi kewangan dalam tempoh jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

Dana itu ditawarkan dalam lima kelas mata wang iaitu Kelas Ringgit Malaysia, Kelas Hedged Ringgit Malaysia, Kelas Dolar AS, Kelas Dolar Australia dan Kelas Dolar Singapura. 

 

Dana itu tersedia untuk langganan kepada pelabur dengan nilai pelaburan awal hanya RM500, HEDGED RM500, AS$500, A$500 atau S$500. - DagangNews.com