BIMB Investment Sasar RM50 Juta Langganan Untuk Dana Wakaf Pertama Di Malaysia | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment Sasar RM50 Juta Langganan Untuk Dana Wakaf Pertama Di Malaysia

Dari kiri, Mohd Muazzam Mohamed, CEO Bank Islam; Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar, Pengerusi Bank Islam menyaksikan Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri melakukan gimik upacara pelancaran Dana Makmur myWakaf (MWF) di Kuala Lumpur, hari ini.

 

KUALA LUMPUR 5 April - BIMB Investment Management Berhad, anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, menyasarkan saiz Dana Makmur myWakaf (MWF) yang akan dilanggan mencecah RM50 juta menjelang akhir tahun ini.

 

Dana Makmur myWakaf adalah dana unit amanah wakaf pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang diperkenalkan pada 12 November 2020. Ia juga merupakan sebuah Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SC.

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, dari segi strategi pelaburan, pendedahan pelaburan diperuntukkan ke pasaran Sukuk, ekuiti patuh Shariah dan aset berisiko rendah seperti instrumen pasaran wang Islam untuk mengekalkan potensi peluang pendapatan.

 

Beliau berkata, dana ini membolehkan pelabur mengambil bahagian dalam prospek pendapatan pasaran Malaysia, Asia Pasifik dan global dengan peruntukan asetnya secara taktikal.

 

"Dana inovatif ini sesuai untuk pelabur korporat dan juga individu-individu yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan pelaburan mereka untuk tujuan wakaf bagi membantu  masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.”

 

“Wakaf memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sesebuah negara. Oleh itu, Dana Makmur myWakaf diwujudkan sebagai usaha memperkasa dan mempelbagaikan usaha-usaha berkaitan wakaf agar seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan yang layak.

 

"Tentunya, tarikan dana ini adalah kemudahan bagi pelabur untuk meraih pelaburan dan pada masa sama, berkongsi sebahagian pulangan pelaburan yang dijana dengan mewakafnya untuk manfaat masyarakat secara berterusan,” kata beliau.

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran rasmi Dana Makmur myWakaf di sini yang disempurnakan oleh Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla; Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi.

 

Sementara itu, Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berwakaf adalah satu instrumen penting dalam Islam yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan dan ekonomi ummah.

 

“Saya amat teruja dengan pelancaran Dana Makmur myWakaf kerana menunjukkan komitmen BIMB Investment terhadap usaha-usaha wakaf untuk manfaat penerima, di samping terus merangsang kemajuan instrumen wakaf di negara ini. BIMB Investment juga telah mengambil langkah yang cukup istimewa, unik, dan inovatif menerusi penawaran dana ini. Ia memberi satu pilihan mudah kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang ke arah kebaikan yang lebih besar.   Hasilnya dapat direalisasikan di dunia ini dan di akhirat.”

 

Dana Makmur myWakaf adalah sebuah dana pelbagai mata wang, aset campuran global patuh Shariah dan menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

 

Dana ini bertujuan untuk menjana pendapatan melalui kepelbagaian portfolio pelaburan patuh Syariah di pelbagai kelas aset peringkat tempatan dan global. Dana ini menggunakan pendekatan kelestarian yang menggabungkan prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

 

Para pelabur boleh melabur dalam Dana Makmur myWakaf melalui 3 kelas aset iaitu RM, USD dan AUD dengan pelaburan awal minimum sebanyak RM200, USD200 dan AUD200 masing-masing. Dana Makmur myWakaf berpotensi untuk mengagihkan pendapatan bulanan dan menyalurkan 50% pengagihan pendapatan sebagai Aset Wakaf untuk tujuan wakaf melalui inisiatif myWakaf AIBIM.

 

Para pelabur juga boleh melabur ke dalam Dana Makmur myWakaf melalui aplikasi pelaburan robo-pintar BEST Invest oleh BIMB Investment.

 

BIMB Investment adalah pengurus aset Islam disokong bank yang pertama di rantau ini yang merupakan penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI). BIMB Investment telah dinamakan Pengurus Aset ESG Terbaik dua tahun berturut-turut untuk tahun 2019 dan 2020 dari Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2020. - DagangNews.com