BIMB luluskan pembiayaan RM360 juta kepada Pharmaniaga dan Selgate untuk program imunisasi COVID-19 | DagangNews Skip to main content

BIMB luluskan pembiayaan RM360 juta kepada Pharmaniaga dan Selgate untuk program imunisasi COVID-19

KUALA LUMPUR 28 Nov – Bank Islam Malaysia Berhad meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM360 juta untuk Pharmaniaga Berhad dan Selgate Healthcare Sdn Bhd untuk perolehan, pengeluaran dan pengedaran vaksin COVID-19 sebagai sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihak bank sentiasa bersedia untuk memberi sokongan yang diperlukan pelanggan.

 

Menurut beliau, ia termasuk meluluskan kemudahan pembiayaan dengan terma dan syarat fleksibel bagi membantu syarikat terlibat dalam rantaian bekalan berkaitan COVID-19 untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan.

 

Pada masa sekarang kata beliau, pendedahan Bank terhadap industri penjagaan kesihatan berjumlah lebih RM250 juta.

 

‘’Kami juga menyediakan kemudahan kewangan kepada syarikat dengan keperluan segera untuk melawan pandemik ini secara efektif.”

 

“Ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik dengan peluasan lebih banyak aktiviti ekonomi, terutamanya dengan kebenaran rentas negeri dan perjalanan ke luar negara,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Walau bagaimanapun kata Mohd Muazzam, ancaman jangkitan COVID-19 masih berlaku kerana jumlah kes positif dalam negara masih tinggi.


 

 Mohd Muazzam Mohamed
                      Mohd Muazzam Mohamed

 


''Dengan pengenalan suntikan penggalak untuk membendung penularan wabak virus ini dengan lebih baik, Bank Islam berbesar hati untuk membiayai kedua-dua Pharmaniaga dan Selgate untuk membekalkan vaksin diperlukan.

 

‘’Sebagai sebuah Bank yang Mendahulukan Kemakmuran untuk Semua, Bank Islam komited untuk memelihara keperluan kewangan pelanggan yang pelbagai dan menyumbang kepada keselamatan kesihatan negara,” tambah Muazzam.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pihaknya bersedia untuk menyediakan vaksin COVID-19 jenis Sinovac kepada kerajaan negeri dan sektor swasta sebaik sahaja kebenaran diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, sebagai dos penggalak.


 

Datuk Zulkarnain Md Eusope
Datuk Zulkarnain Md Eusope

'


'’Syarikat menjangkakan permintaan daripada pelbagai sektor dalam mendapatkan dos suntikan penggalak untuk membantu merangsang pertumbuhan ekonomi sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara,” ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SELGATE Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, kemudahan pembiayaan daripada Bank Islam amat membantu, terutama dalam krisis semasa di mana kecairan kekal sebagai kunci utama dalam menjaga kehidupan rakyat.


 

 Noor Hisham Mohd Ghouth
Noor Hisham Mohd Ghouth

 

 

``Berikutan kejayaan program vaksinasi kebangsaan terhadap lebih 90% populasi dewasa pada Oktober 2021, kami sedang bersiap sedia untuk menyediakan dos suntikan penggalak kepada penerima vaksin Sinovac sebelum ini melalui program SELVAX dan mana-mana individu berumur lebih 18 tahun yang ingin mendapatkan dos suntikan penggalak.

 

``Kami juga terbuka kepada pembelian pukal vaksin daripada klinik dan hospital swasta,” kata beliau. – DagangNews.com