KUALA LUMPUR 22 Dis - Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) menjadi salah satu rakan pengasas dan institusi perbankan Islam Malaysia pertama dalam satu pakatan global yang membentuk masa hadapan data berkaitan
alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pelancaran ESG Book.
Ia merupakan sebuah platform percuma dibangunkan oleh Arabesque yang berperanan sebagai sumber utama baharu maklumat kemampanan korporat digital dan mudah diakses bagi menyediakan rangka kerja maklumat ESG neutral dalam masa nyata.
Di samping itu, ESG Book ini juga menggalakkan aspek ketelusan selain menyokong 10 Prinsip Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kekurangan pendedahan, akses terhad dan data ESG yang tidak konsisten telah memperlahankan penyediaan peruntukan modal ke arah aktiviti-aktiviti perniagaan rendah karbon dan mampan.
Katanya, tindakan segera perlu diambil untuk menangani perkara yang mendesak ini, justeru, BIMB percaya bahawa usaha dan pendekatan bersepadu seperti penyediaan ESG Book berupaya untuk membawa perubahan positif besar, bukan sahaja kepada ekonomi domestik, malah di peringkat global.
“Dalam merancang masa hadapan BIMB, kami berhasrat untuk menjadi peneraju penyediaan penyelesaian kewangan lengkap Syariah-ESG dan aspirasi tersebut digarap dalam pelan perniagaan kami.
"BIMB amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha ini yang mana ia membolehkan pemegang taruh membuat keputusan bermaklumat demi manfaat sejagat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Arabesque adalah sebuah firma pengurusan aset dan data global yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) canggih serta penyelidikan berkaitan kemampanan.
Pakatan ESG Book ini memanfaatkan peralatan keupayaan pelaburan kuantitatif, kemampanan dan saringan ESG berasaskan AI termaju daripada Arabesque.
Dilancarkan pada 1 Disember 2021, ESG Book tersedia kepada semua perniagaan, pelabur, penetap standard dan pemegang taruh yang lain.
Sementara itu, Pengerusi Arabesque, Georg Kell berkata, terdapat peningkatan keperluan untuk data ESG yang mudah diakses, boleh dibuat perbandingan dan telus bagi mempercepatkan peralihan global kepada masa hadapan yang lebih mampan.
"ESG Book adalah penyelesaian digital baharu yang menghubungkan syarikat, pelabur dan semua pemegang taruh bagi pendekatan lebih tersusun dan berpusat terhadap kemampanan korporat,” katanya. - DagangNews.com