KUALA LUMPUR 28 Sept - BIMB Securities Research memulakan liputan terhadap Boustead Plantation Bhd. dengan saranan 'pegang' pada harga sasaran 69 sen sesaham.
Penilaian itu mengambil kira usaha berterusan ke atas kecemerlangan operasi dan kecekapan lapangan, yang akan terus menyokong program peningkatan prestasi perladangannya.
Menurut firma itu, harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan keuntungan daripada pelupusan aset perladangan akan meningkatkan momentum pertumbuhan pendapatan dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).
"Kami melihat 2022 akan mencatat rekod dengan mengunjurkan lebih daripada 100% pertumbuhan tahun ke tahun dalam keuntungan bersih kepada RM629.9 juta.
"Malah, kami tetap yakin dengan keupayaan Boustead Plantation dalam mengembangkan pendapatannya untuk tempoh jangka panjang, dengan syarat kumpulan dapat meningkatkan produktivitinya dengan menambah baik hasil buah tandan segar dan kecekapan operasi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pengeluaran buah tandan segar mungkin merosot untuk tahun ini, dianggarkan menurun sebanyak 3.5% tahun ke tahun kepada 891,000 tan dengan purata kira-kira 2.3% setahun dalam tempoh dua tahun akan datang, walaupun disokong oleh peningkatan dalam hasil, ditambah dengan lebih banyak kawasan penanaman yang matang dan penuaian kerana profil umur lebih baik.
Kecekapan operasi syarikat di ladang dijangka meningkat berikutan kemajuan yang baik dalam menangani isu kekurangan buruh dan inisiatif program Pengimbangan Semula Aset.
Berdasarkan faktor ini, BIMB mengunjurkan Boustead Plantation akan merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM262 juta dan RM151 juta masing-masing bagi FY22 dan FY23.
"Anggaran ini mengambil kira purata harga minyak sawit direalisasikan sebanyak RM5,000 satu tan metrik bagi FY22 dan RM3,500 satu tan metrik bagi FY23.
"Sementara itu, pertumbuhan 2.5% dalam pengeluaran buah tandan segar bagi FY23 mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) PATAMI sebanyak 49% bagi FY20 hingga FY23," jelasnya.
Firma itu juga mendapati Boustead Plantation menawarkan hasil dividen yang menarik dengan menjangkakan bayaran dividen sebanyak 12.85 sen sesaham bagi FY22 berdasarkan unjuran keuntungan bersih sebanyak RM629.9 juta.
Setakat 9.33 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 62 sen dengan 181,000 saham diniagakan. - DagangNews.com