BIMB sediakan bantuan pembiayaan untuk mangsa banjir di bawah Program Prihatin Banjir | DagangNews Skip to main content

BIMB sediakan bantuan pembiayaan untuk mangsa banjir di bawah Program Prihatin Banjir


 

KUALA LUMPUR 19 Dis - Berikutan situasi banjir buruk yang melanda beberapa buah kawasan di seluruh negara, Bank Islam Malaysia Berhad kini menyediakan Bantuan Prihatin Banjir untuk membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas.

 

Di bawah inisiatif tersebut, pelanggan yang mempunyai kemudahan pembiayaan BIMB boleh memohon bantuan kewangan untuk tempoh sehingga 6 bulan terhadap komitmen bulanan mereka, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

 

Selain itu, BIMB juga tidak akan mengenakan sebarang bayaran bagi penggantian kad ATM dan debit serta buku cek yang rosak atau hilang ekoran bencana yang berlaku.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, BIMB sentiasa mengikuti perkembangan di seluruh kawasan yang terjejas.

 

Beliau berkata, pihaknya prihatin kesukaran yang dialami pelanggan dalam menghadapi situasi semasa, terutamanya dengan keadaan banjir yang buruk, kejadian tanah runtuh dan lain-lain yang berkaitan, khasnya ketika pandemik COVID-19 masih melanda negara.

 

Menurutnya, BIMB mengambil langkah proaktif bagi membantu pelanggan yang terjejas kerana kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi satu daripada keutamaan Kumpulan BIMB.

 

''Justeru, kami berharap Bantuan Prihatin Banjir ini dapat melegakan kebimbangan pelanggan terhadap komitmen kewangan mereka dalam mendepani situasi yang
mencabar ini.

 

''Selain itu, BIMB turut berusaha untuk menyediakan sokongan yang diperlukan kepada masyarakat umum yang terkesan dengan situasi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

PM

 


Permohonan Bantuan Prihatin Banjir boleh dibuat di cawangan BIMB berhampiran.

 

BIMB menasihati pelanggan yang memerlukan bantuan agar berbincang dengan pihak Bank untuk membuat pilihan bantuan pembiayaan yang mereka perlukan.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Bantuan Prihatin Banjir BIMB dan senarai cawangan yang beroperasi, sila rujuk laman web BIMB di www.bankislam.com atau platform
media sosial, Bank Islam Malaysia Berhad (Facebook); @bankislam (Instagram), dan @myBankIslam (Twitter).

 

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Panggilan BIMB di talian 03-26 900 900 atau emel ke [email protected] untuk mendapatkan bantuan lanjut. - DagangNews.com