Bimbang 'PKP 3.0', sentimen pelabur terjejas | DagangNews Skip to main content

Bimbang 'PKP 3.0', sentimen pelabur terjejas

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 25 Jan. - Pasaran tempatan lemah petang ini, apabila indeks utama FBM KLCI jatuh 1.3% petang ini dan mengakhiri dagangan pada 1,576.6 mata. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif, apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 1,119 berbanding 231 manakala 311 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.49 bilion saham diniagakan bernilai RM5.17 bilion. 

 

Menurut Ketua Penyelidik Hong Leong Investment Bank, Ng Jun Seng, KLCI dijangka terus lemah memandangkan para pelabur melihat risiko kepada ekonomi dan juga pertumbuhan hasil korporat ekoran pelaksanaan PKP 2.0 dan musim laporan kewangan suku keempat tidak lama lagi. 

 

"Sentimen juga terjejas ekoran kebimbangan PKP lebih ketat akan dilanjutkan selepas 4 Februari ini, jika kes jangkitan semakin meningkat," katanya dalam nota kajian. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, prestasi lemah bursa tempatan seolah-olah menongkah arus, berbanding pasaran serantau lain seperti Korea Selatan, Thailand, Jepun dan Hong Kong yang ditutup tinggi disokong keyakinan terhadap pakej ransangan Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, Dialog Group muncul kaunter paling banyak mencatat kerugian dalam kalangan komponen utama indeks FBM KLCI dengan susut sehingga 7%. 

 

"Ini mungkin disebabkan oleh langkah Agensi Tenaga Antarabangsa yang mengurangkan unjuran permintaan minyak mentah sehingga 600,000 sehari menjejaskan dagangan kaunter berkaitan minyak dan gas," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Dalam pasaran lebih meluas, sektor teknologi turut menyaksikan aktiviti jualan selepas berlaku kenaikan baru-baru ini ekoran kekurangan bekalan cip global. 

 

Bagaimanapun, kaunter pengeluar sarung tangan getah menjadi pilihan pelabur dalam dagangan hari ini dengan Top Glove, Hartalega dan Supermax masing-masing meningkat sehingga 5% di tengah-tengah lonjakan jangkitan COVID-19 dan kemungkinan bekalan vaksin ditangguhkan. 

 

Faktor ini secara tidak lang akan mengukuhkan permintaan terhadap sarung tangan getah dalam tempoh sederhana, katanya. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, katanya, ringgit menyaksikan dagangan lemah berbanding dolar AS dengan tiada tanda-tanda kadar jangkitan semakin berkurangan, sekali gus meningkatkan keyakinan mungkin PKP dilanjutkan lagi. 

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0400/0450 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan Jumaat, RM4.0415/0445. - DagangNews.com