Bina Darulaman kembali catat untung RM1.13 juta pada suku kedua dipacu aktiviti pembinaan | DagangNews Skip to main content

Bina Darulaman kembali catat untung RM1.13 juta pada suku kedua dipacu aktiviti pembinaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bina Darulaman Bhd. (BDB) kembali mencatat untung pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM1.13 juta daripada kerugian bersih RM2.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat kepada RM51.62 juta daripada RM41.93 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Bagi separuh pertama, kerugian bersihnya mengecil kepada RM4.87 juta daripada kerugian bersih RM5.84 juta manakala pendapatan meningkat 16% kepada RM83.07 juta berbanding RM71.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan pendapatan itu disumbangkan terutamanya daripada aktiviti pembinaan yang lebih tinggi pada tahun kewangan semasa.

 

Segmen hartanah bagaimanapun merekodkan pendapatan lebih rendah sebanyak RM31.1 juta daripada RM37.2 juta kerana aktiviti pembangunan di Projek Bandar Sejahtera yang telah siap pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ia juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM1.1 juta berikutan penambahbaikan yang dibuat dalam perniagaan riadah dan pendapatan yang dijana daripada pembangunan bersama melalui BDB Setia Sdn. Bhd.

 

Sementara itu, segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM51.2 juta berbanding RM34.1 juta pada 2021 berikutan peningkatan dalam jualan produk kuari serta kerja pembinaan disumbangkan terutamanya oleh projek penyelenggaraan jalan negeri, Loji Rawatan Air Pelubang dan penjualan produk kuari.

 

Mengenai prospek kumpulan, BDB berkata, aktiviti ekonomi negeri Kedah dijangka mengalami pembangunan ekonomi yang lebih besar berdasarkan pelaburan yang mengalir masuk dan memberi manfaat kepada kumpulan sebagai syarikat milik kerajaan negeri.

 

Katanya, nilai kontrak bagi projek seperti Loji Rawatan Air Pelubang juga dijangka siap pada 2024 manakala baki projek penyelenggaraan jalan negeri akan disiapkan tahun ini.

 

"Segmen hartanah juga kekal fokus untuk membangunkan perbandaran/bank tanah sedia ada dan menambah nilai simpanan tanah.

 

"Pelancaran pembangunan usaha sama projek rumah mampu milik yang terletak di Bandar Amanjaya, Sungai Petani pula dijangka diadakan pada suku ketiga 2022," katanya.

 

Secara keseluruhan, BDB yakin dengan nilai kontrak sedia ada, pembangunan perbandaran/bank tanah dan penambahbaikan ke atas kecekapan operasi akan meningkatkan prestasi dan memacu pertumbuhan akan datang. -DagangNews.com