Bina Darulaman miliki lima projek utama bernilai RM1.5 bilion, komited pacu pembangunan Kedah | DagangNews Skip to main content

Bina Darulaman miliki lima projek utama bernilai RM1.5 bilion, komited pacu pembangunan Kedah

Pengerusi BDB, Sr Che Had Dhali (tengah) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman (dua dari kanan) serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB bergambar bersempena Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-28 di Alor Setar hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun - Bina Darulaman Berhad (BDB) mempunyai lima projek utama yang melibatkan pelbagai sektor perniagaan utamanya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.5 billion sehingga Jun 2023.

 

Pengerusi BDB, Che Had Dhali berkata tiga projek tersebut terdiri daripada pembangunan perbandaran dan perumahan mampu milik di Darulaman Lagenda di Sungai Petani, Darulaman Saujana di Kubang Pasu dan Aman Nusa di Langkawi.

 

Menurut beliau, ketiga-ketiga projek berkenaan memiliki GDV berjumlah RM1.3 bilion sekali gus akan memberi manfaat kepada sebahagian rakyat yang tinggal di daerah-daerah tersebut.

 

Dua lagi projek telah diterima melalui anak syarikatnya, BDB Infra Sdn. Bhd. (BISB), melibatkan kontrak penyelenggaraan jalan bernilai RM204 juta dan projek sistem pengairan sebanyak RM34 juta.

 

“BISB turut mendapat kepercayaan daripada kerajaan negeri apabila dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan bernilai RM204 juta melibatkan zon 1 iaitu Daerah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Yan dan Sik.

 

“BISB juga berjaya dalam bidaan projek Sistem Pengairan Tersier dengan nilai kontrak berjumlah RM34.08 juta serta membeli Kuari Gemi Puncak, Langkawi dengan nilai RM13 juta,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-28 di Alor Setar, hari ini.

 

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan, Raja Shahreen Raja Othman dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDB serta Pengurusan Kanan Kumpulan BDB.

 

Che Had berkata, kumpulan itu berharap projek itu dapat memacu pertumbuhan serta menjana pendapatan syarikat untuk tahun-tahun mendatang sekali gus meletakkan BDB ke satu tahap yang lebih tinggi.

 

Beliau turut menzahirkan komitmen BDB dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan lestari di samping membantu kerajaan negeri meningkatkan keselesaan dan taraf hidup rakyat Kedah termasuk menyokong dan menjayakan Pelan Pembangunan Jangka Panjang Negeri Kedah, KEDAH2035.

 

Di samping itu, BDB kini telah pun memulakan langkah untuk meneroka peluang perniagaan melibatkan bidang tenaga boleh diperbaharui, termasuklah Pembangunan Perbandaran Hijau dan bumbung solar, serta panel fotovoltaik (PV) yang akan dipasang di beberapa projek pembangunan perumahan.

 

“BDB juga menyokong peningkatkan sektor pertanian di Kedah dengan menggalakkan amalan lestari dan memanfaatkan teknologi serta inovasi, di mana kumpulan menyasarkan untuk meneroka inisiatif baharu dalam pertanian mampan bagi memastikan keterjaminan makanan antaranya melalui sistem akuaponik.

 

“Di samping itu, BDB melalui Darulaman Park turut meletakknya dirinya sebagai destinasi pelancongan yang bervariasi dan dinamik di Kedah bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa serta menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan industri pelancongan di Daerah Kubang Pasu khasnya,” tegasnya. -DagangNews.com