Harga rumah di Malaysia meningkat pada kadar 7.5% setahun antara 2010 hingga 2019. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kerajaan sewajarnya meletakkan julat harga yang bersesuaian bagi golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Pengasas Bersama dan Ketua Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, ketika ini kadar pemilikan rumah di Malaysia sudah pun tinggi mencecah 70% manakala peratusan keseluruhan isi rumah bumiputera yang memiliki unit kediaman adalah 74%.
Jumlah ini, katanya, adalah lebih tinggi berbanding negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS), contohnya.
"Oleh itu, kami melihat pelan pembangunan 5 tahun yang dirancang kerajaan akan menyaksikan cabaran besar bagi sektor hartanah menjelang 2025.
"Apabila pendekatan itu dilaksanakan, kita sepatutnya menjangkakan lebih banyak aktiviti bagi harga rumah dalam julat yang bersesuaian untuk pembeli daripada M40 dan B40," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah RMKe-12, kerajaan bercadang untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.
Ia sebagai tambahan pembinaan lebih 282,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).
Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak dibebani dengan bayaran ansuran.
Kashif berkata, bagi membolehkan golongan B40 dan M40 memiliki rumah sendiri, lebih banyak pembangunan perlu dilaksanakan dalam julat harga yang bersesuaian sejajar dengan pembiayaan dan insentif dasar.
Pada 2020, katanya, transaksi pembelian rumah menunjukkan 62% adalah bagi hartanah berharga di bawah RM300,000 berbanding 17% di bawah harga RM500,000.
"Oleh itu, dengan pendekatan dilaksanakan di bawah RMKe-12, transaksi bagi rumah di bawah RM300,000 sepatutnya meningkat menjelang 2025," tambahnya.
Beliau menambah, bagi membantu pembeli yang tidak mampu menyediakan bayaran pendahuluan bagi rumah baharu, julat harga bagi program RTO akan dinaikkan kepada RM500,000.
"Skim RTO sebenarnya adalah kaedah paling berpatutan untuk memiliki rumah sendiri, dengan menyewa dalam tempoh 5 tahun," katanya. - DagangNews.com