Binance bekerjasama dengan MYDIN bantu penduduk luar bandar yang terjejas | DagangNews Skip to main content

Binance bekerjasama dengan MYDIN bantu penduduk luar bandar yang terjejas

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Binance Charity, cabang kebajikan Binance, penyedia infrastruktur mata wang kripto dan blockchain terkemuka dunia, mengumumkan kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) bagi menyediakan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat rentan luar bandar. 

 

Kerjasama antara Binance Charity dan MYDIN itu merangkumi sumbangan bekalan kecemasan bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik dan bencana banjir.

 

MYDIN Prihatin akan menggunakan sumbangan tersebut bagi membeli barangan keperluan untuk golongan kurang bernasib baik. 

 

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, MYDIN Prihatin ‘Kami Bawa Senyuman’  adalah usaha MYDIN untuk membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih bahagia secara mampan menerusi mobilisasi sokongan yang tepat pada masanya dan bersistematik kepada masyarakat. 

 

"Skala cabaran ekonomi yang sedang kita hadapi, menyedarkan kami bahawa kita tidak boleh bertindak bersendirian dan bahawa tindakan secara kolektif adalah perlu bagi memastikan bantuan yang disalurkan terus sampai kepada kumpulan sasaran. 

 

"Dengan kerjasama Binance Charity yang amat dihargai ini, kami berharap untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat rentan dengan lebih aktif lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sumbangan itu akan dibuat dalam bentuk mata wang kripto stablecoin (BUSD) menerusi platform sumbangan Binance Charity yang diupayakan oleh teknologi blockchain dan 100% telus. 

 

Stablecoin menghubungkan dunia mata wang kripto dan mata wang fiat  kerana kedua-duanya diikat kepada aset rizab, yakni di dalam kes ini, dolar Amerika Syarikat. 

 

Naib Presiden Eksekutif Binance dan Ketua Binance Charity, Helen Hai berkata, adalah sesuatu yang menginspirasikan apabila melihat syarikat yang tidak asing lagi seperti MYDIN mengutamakan kesejahteraan orang ramai, terutama sekali tatkala Malaysia bersedia untuk menghadapi bencana banjir. 

 

"Menerusi kerjasama ini, kami berharap untuk menyokong masyarakat tempatan dalam mengharungi situasi sukar tersebut. Kami amat berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif MYDIN dan berharap dapat membantu membina mata pencarian yang mampan dan memacu ekonomi tempatan," katanya. - DagangNews.com