Binastra dapat kontrak pusat data kedua bernilai RM574 juta | DagangNews Skip to main content

Binastra dapat kontrak pusat data kedua bernilai RM574 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 9 Sept – Binastra Corporation Berhad (dahulunya dikenali sebagai Comintel Corporation Bhd) memperoleh kontrak berjumlah RM574.4 juta daripada Exsim Jalil Link Sdn Bhd untuk mereka bentuk, membina, menguji dan mentauliahkan kerja-kerja bangunan utama untuk Fasa 2 cadangan pembangunan pusat data di Bukit Jalil di sini.

 

Kerja-kerja bangunan termasuk blok pusat data 5 tingkat, ruang pejabat dan pencawang elektrik, antara kemudahan lain.

 

"Projek pusat data dijangka bermula pada 1 Oktober 2024, dengan tarikh sasaran siap dalam tempoh 16 bulan," kata Binastra dalam kenyataan di sini.

 

Sejak pengambilalihan Comintel Corporation Bhd, Binastra giat meneruskan kontrak baharu untuk memperkukuh buku pesanannya.

 

Sehingga kini, Binastra telah memperoleh RM2.5 bilion dalam kontrak baharu untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (FY2025).

 

Untuk meletakkan ini dalam perspektif, RM2.5 bilion ini telah jauh melebihi nilai gabungan jumlah kontrak yang dimenangi untuk dua tahun kewangan sebelumnya.

 

Projek pusat data ini, mewakili kontrak tunggal terbesar Kumpulan yang pernah diraih, membawa kepada buku pesanan tertunggak tinggi sepanjang masa sebanyak RM3.3 bilion.

 

Kontrak terbaru ini, yang diberikan melalui anak syarikat milik penuh Kumpulan, Binastra Builders Sdn Bhd, akan menjadi kontrak ke-11 Kumpulan untuk FY2025.

 

 

Binastra Corporation Berhad, Datuk Jackson Tan Kak Seng
           Datuk Jackson Tan Kak Seng

 

 

Pengarah Urusan Binastra Corporation Berhad, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, pihaknya diamanahkan dengan Fasa 1 projek pembangunan pusat data ini pada 2023, yang dijangka siap pada penghujung tahun 2024 dan berjaya disewakan oleh syarikat teknologi yang berpangkalan di Singapura, Aperia Cloud Services.

 

"Kami berbesar hati diberi tanggungjawab untuk menyelia fasa kedua Pusat Data Cadangan ini melalui kontrak terbaru ini.

 

"Mutu kerja kami yang berkualiti dan penyampaian projek yang tepat pada masanya telah mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap kami. Kontrak ini mencerminkan kepercayaan berterusan pelanggan terhadap keupayaan kami untuk mengambil reka bentuk dan membina projek yang lebih kompleks," ujar beliau.

 

Tan juga menekankan komitmen Binastra terhadap kemampanan. “Ketika kami melangkah ke Fasa 2, kami akan bekerjasama rapat dengan pelanggan dan jurutera kami untuk menggabungkan ciri-ciri alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang dipertingkatkan, memastikan pembangunan sejajar dengan piawaian kemampanan global.” - DagangNews.com