KUALA LUMPUR 24 Mei - Bintai Kinden Corp Berhad akan memulakan siasatan dalaman terhadap 'pengarah tertentu' serta aktiviti perdagangan syarikat itu.
Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menjelaskan siapakah pengarah yang akan disiasat.
"Skop penyiasatan itu tidak terhad kepada pemeriksaan dagangan saham yang tidak dibenarkan, potensi dagangan orang dalam, penglibatan pengarah lain atau bekas setiausaha syarikat, dan keberkesanan keseluruhan kawalan tadbir urus korporat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Bintai Kinden yang merupakan syarikat Nota Amalan 17 (PN17), berkata, ia telah melibatkan pihak bebas untuk menjalankan siasatan.
"Hasrat syarikat adalah untuk memastikan siasatan itu adalah terperinci.
BACA JUGA: MBSB Bank saman Bintai Kinden tuntut bayaran tertunggak RM238.52 juta
BACA JUGA: Azri Azerai letak jawatan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden atas sebab-sebab peribadi
BACA JUGA: Lagi rombakan dalam Bintai Kinden, bekas CEO kembali sebagai MD kumpulan
"Syarikat ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan itu diambil serius dengan pandangan untuk menegakkan nilai syarikat, melindungi kepentingan pemegang saham kami dan integriti pasaran," katanya.
Kumpulan itu bagaimanapun, memberi jaminan bahawa mereka akan terus menjalankan operasi perniagaannya seperti biasa 'di bawah bimbingan dan penyeliaan baki pengarah dan pasukan pengurusan'.
"Pengumuman lanjut mengenai penemuan dan sebarang perkembangan penting berkaitan penyiasatan ini, akan dibuat kepada Bursa Malaysia selaras dengan kewajipan pendedahan dari semasa ke semasa," katanya. - DagangNews.com