KUALA LUMPUR 19 April — Bintai Kinden Corporation Berhad meraikan semangat Ramadan dengan menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan yang memerlukan.
Majlis tersebut, yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Daerah Cheras dengan sokongan Yayasan Seri Negara (YSN), adalah sebahagian daripada program Ihya Ramadan 2022 yang dianjurkan di seluruh Malaysia sebagai platform untuk menyumbang kepada anak-anak yatim dan kumpulan lain yang tidak bernasib baik.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai mewakili Syarikat dalam penyampaian bantuan kewangan itu, bersama penaung YSN, Datuk Seri Mazlan Lazim.
“Kami berbesar hati dapat memainkan peranan kami dalam menyokong masyarakat yang memerlukan, terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini yang menekankan semangat kebersamaan dan kesyukuran.
“Kami berharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban mereka dan membawa sedikit keceriaan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” kata Azri.
Sumbangan berkenaan disediakan untuk anak-anak yatim, anak-anak orang kurang upaya, balu dan pesara Polis Diraja Malaysia. Pada majlis tersebut, Bintai Kinden dan YSN turut menganjurkan sesi berbuka puasa untuk para penerima. - DagangNews.com