BioEneco sasar penuhi permintaan 23 juta tan biojisim di Jepun menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

BioEneco sasar penuhi permintaan 23 juta tan biojisim di Jepun menjelang 2025

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Okt – Bio Eneco Sdn. Bhd. (BioEneco) bersedia untuk mengembangkan jualan bahan api biojisimnya seiring dengan peningkatan permintaan dari negara seperti Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Filipina.

 

Pengarah Urusannya, Oliver Yeo berkata, Jepun ialah pasaran biojisim kelima terbesar di dunia dengan kerajaan negara itu beralih daripada pergantungan fosil kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), menyasarkan untuk menyumbang 22% hingga 24% daripada campuran elektriknya menjelang 2030.

 

Sehingga kini, katanya, lebih 800 projek kuasa biojisim yang menjana lebih daripada 16 gigawatt telah diluluskan, sekali gus mendorong permintaan untuk bahan api biojisim seperti tempurung inti sawit (PKS) dan pelet kayu apabila lebih banyak kemudahan RE mula beroperasi.

 

“Peluang ini menyaksikan BioEneco memperoleh kontrak daripada syarikat multinasional terkemuka untuk membekalkan bahan api biojisim kepada loji janakuasa di Jepun dan menjangka memperoleh lebih banyak lagi dalam beberapa bulan akan datang. 

 

"Sebagai pemaju, pengilang dan pembekal bahan api biojisim terkemuka dengan kehadiran kukuh di rantau ini, kami yakin produk berkualiti tinggi kami akan dapat memenuhi permintaan di negara tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

bioeneco
OLIVER YEO

 

 

Setakat ini, Bio Eneco telah mengeksport berjuta-juta tan bahan api biojisim bergred tinggi ke seluruh dunia. Produknya digunakan secara meluas di loji janakuasa dan perindustrian di benua Asia. 

 

Pada masa sama, syarikat itu juga bersedia untuk memasuki pasaran besar kediaman rumah di negara-negara Eropah.

 

Selain Jepun, syarikat juga menghantar PKS pukal pertama, seberat 6,800 tan metrik ke Filipina  baru-baru ini.

 

PKS digunakan secara meluas sebagai alternatif yang bersih dan cekap kepada arang batu lombong tradisional untuk penjanaan tenaga.

 

Menurut Yeo, untuk tempoh tiga tahun akan datang, BioEneco telah terlibat dan merancang untuk membekalkan 2.3 juta tan metrik bahan api biojisim ke seluruh dunia. 

 

Katanya, syarikat juga menyasarkan untuk memberi tumpuan kepada Jepun, yang mempunyai unjuran jumlah permintaan biojisim sebanyak 23 juta tan pada 2025, hampir tiga kali ganda daripada kadar semasa.

 

"Bagi memudahkan pengembangan globalnya, kami merancang untuk mengembangkan Hab Biojisimnya berdekatan Northport, Pelabuhan Klang," katanya. - DagangNews.com