Biokerjaya @ My Future Agro bantu perkasa tenaga mahir, usahawan | DagangNews Skip to main content

Biokerjaya @ My Future Agro bantu perkasa tenaga mahir, usahawan

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pelbagai insentif pengambilan pekerja dan program latihan menerusi Biokerjaya @ My Future Agro ternyata mampu memacu kelompok pekerja mahir dan usahawan selaras dengan keperluan industri berkaitan pertanian dan makanan.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kewujudan pelbagai peluang pekerjaan berkemahiran menerusi program berkenaan membuka laluan kepada rakyat negara ini meraih pendapatan lebih stabil dan membolehkan mereka melabur dalam pemakanan, kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.

 

Katanya, dalam jangka panjang, program berkenaan berupaya mewujudkan tenaga kerja mahir dan berpengalaman yang dapat memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan berkualiti terutama semasa krisis seperti pandemik COVID-19.

 

“Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja menyumbang kepada bekalan makanan negara malah menyumbang kepada peningkatan produktiviti, prestasi ekonomi dan kesejahteraan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Biokerjaya @ My Future Agro yang dilaksanakan Bioeconomy Corporation adalah antara perancangan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan untuk merancakkan dan melindungi sektor agromakanan negara daripada impak pandemik COVID-19. 

 

 

Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak
Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak 

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak menjelaskan, syarikat yang bekerjasama dalam program Biokerjaya @ My Future Agro bukan sahaja mampu meneruskan pengambilan pekerja malah mengukuhkan tenaga kerja mereka dengan menggaji dan memberikan latihan kepada peserta.

 

Beliau berkata, dengan adanya pekerja bersesuaian yang dilatih menerusi program ini, syarikat akan memiliki tenaga kerja yang dilengkapi dengan pemikiran tepat, ilmu pengetahuan yang relevan dan kemahiran yang dapat membantu syarikat terus berdaya saing dan bersedia untuk mempelbagaikan peniagaan mereka terutama dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.

 

“Bagi peserta pula, program ini membolehkan mereka mempelajari kemahiran praktikal dan pengalaman kerja baharu dalam bidang bioteknologi, teknologi berasaskan bio atau teknologi pertanian yang meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan bekerja untuk pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.

 

“Ini sekali gus mendorong peserta untuk menjadi usahawan atau usahawan tani mandiri manakala Bioeconomy Corporation akan membantu mereka untuk permohonan pembiayaan mikrokredit apabila mereka selesai menyempurnakan program latihan selama enam bulan,” katanya.

 

Menerusi Biokerjaya @ My Future Agro dan program lain di bawah BioAcademy, Bioeconomy Corporation komited untuk membantu syarikat memperoleh pekerja berpotensi tempatan, khususnya dalam kalangan generasi muda serta memperkasa tenaga kerja terbabit supaya celik teknologi dan inovatif bagi memenuhi permintaan pasaran dalam industri berkaitan. 

 

Antara syarikat yang menyertai program berkenaan, GK Aqua Sdn. Bhd. (GKA), yang meluaskan operasinya daripada pusat penetasan udang galah berkeluasan satu ekar kepada kemudahan 6 ekar pada akhir 2019 sekali gus memerlukan lebih ramai tenaga kerja, namun sejurus kemudian, pandemik COVID-19 bermula. 

 

 

Giva Kuppusamy
Giva Kuppusamy

 

 

Berkongsi mengenai kelebihan program ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya GKA, Giva Kuppusamy berkata, ia dapat membantu pihaknya untuk meneruskan pengambilan pekerja malah pada akhir program 6 bulan itu, syarikat dapat mengenal pasti pekerja berpotensi yang boleh diserap sebagai pekerja tetap. 

 

“Program ini memberi pendedahan kepada pekerja untuk memperoleh kemahiran dan pengetahuan dalam persekitaran kerja akuakultur. Ini secara tidak langsung menilai kesesuaian calon apabila mereka bekerja dalam persekitaran berkaitan. 

 

“Latihan lain membabitkan komunikasi, kerja berpasukan serta amalan akuakultur terbaik membantu meluaskan pengetahuan mengenai industri akuakultur sekali gus membolehkan pekerja lebih menghargai bidang tugas mereka,” katanya.

 

Sehingga kini, beliau memberitahu, pihak syarikat memohon 16 pekerja menerusi program berkenaan.

 

 

Law Eng Lim
Law Eng Lim

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Reszon Diagnostics International (Reszon), Law Eng Lim turut mengakui, program terbabit membolehkan majikan mendapatkan calon pekerja bersesuaian dengan kos pengambilan pekerja yang lebih rendah.

 

Katanya, sebagai syarikat bioteknologi, program ini bermanfaat kepada syarikat untuk memperoleh bakat bersesuaian dalam bidang berkaitan malah ia membantu untuk mengembangkan semula syarikat dalam tempoh pemulihan COVID-19 ini.

 

“Menerusi sistem pencarian kerja secara dalam talian, ia turut meringankan beban kami dengan pengurangan perbelanjaan pengambilan pekerja sekiranya kami mengendalikannya menerusi saluran pekerjaan tradisional,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, buat masa ini terdapat 52 pelatih di syarikat berkenaan yang terbabit dalam program berkenaan.

 

Sehingga akhir 2021, seramai 2,958 pencari kerja berdaftar dengan portal Biokerjaya @ My Future Agro yang juga program inisiatif Mobiliti Tenaga Kerja Agromakanan di bawah PENJANA. - DagangNews.com