Bisnes keluarga, YTL Power mudah tumpu risiko ESG | DagangNews Skip to main content

Bisnes keluarga, YTL Power mudah tumpu risiko ESG

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Setiap pengurusan atasan dan hala tuju yang dikendalikan oleh ‘anak-beranak’ memudahkan syarikat konglomerat dan konsesi utiliti, YTL Power International Berhad (YTL Power) untuk menumpukan aspek keuntungan mendatang.

 

Ini termasuk prospek pengawasan tadbir urus persekitaran, sosial dan korporat (ESG) terhadap kumpulan syarikat itu, ramal Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB). 

 

Isu ESG ini berbangkit apabila YTL Power mempunyai tahap pendedahan batu arang yang cukup besar melalui syarikat Jawa Power (memilik 20% kepentingan), sebuah jana tenaga batu arang di Indonesia.  

 

Jelas Maybank IB, ‘stigma batu arang’ ini akan terus ‘melekat’ dengan YTL Power pada masa akan datang. 

 

YTL Power juga berusaha untuk mencapai titik akhir fasa pemerolehan jana tenaga batu arang Tanjung Jati A di Indonesia, dedah Maybank IB. 

 

Dalam masa sama,  YTL Power juga memiliki kepentingan 45% dalam Attarat Power, jana tenaga syal minyak yang sedang dalam pembinaan di Jordan, menurut firma penyelidik itu.

 

“Kesanggupan kumpulan syarikat itu untuk menyertai pembinaan loji jana tenaga batu arang dan syal minyak menggambarkan keprihatinan aspek ESG sahaja tidak menghalang keputusan pelaburan oleh pengurusan kumpulan syarikat. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan YTL Power akan mengekalkan strategi pelaburan semasa dalam aset terkawal dengan konsesi jangka panjang dan pulangan menarik untuk masa depan akan datang. 

 

“Kami tidak melihat aspek kepelbagaian tenaga boleh diperbaharui secara rancak akan berlaku memandangkan pulangan yang rendah kerana projek berkaitan semakin meningkat,” jelas Maybank IB dalam nota kajiannya. 

 

Bagaimanapun, terdapat usaha pengurangan pencemaran alam sekitar termasuk inisiatif pembangunan peralihan sisa kepada tenaga oleh Wessex, Jawa Power melabur dalam grid mini yang boleh diperbaharui untuk komuniti tempatan serta PowerSeraya memasang sistem fotovoltan untuk menyediakan pilihan tenaga hijau kepada pelanggan. 

 

Tambah Maybank IB, walaupun kumpulan syarikat itu dikendalikan oleh keluarga, namun tiada catatan urus niaga pihak-pihak berkaitan yang dibangkitkan di YTL Power.

 

“YTL Power tidak memiliki set dividen yang ditetapkan, tetapi proaktif dengan pengurusan modal, apabila membayar wang tunai yang banyak atau dividen saham setiap tahun. Kumpulan syarikat itu juga aktif dalam pembelian balik saham,” ujar Maybank IB lanjut.

 

Untuk rekod, YTL Power secara majoritinya dikawal oleh Keluarga Yeoh menerusi syarikat induknya, YTL Corporation Berhad dan Yeoh Tiong Lay & Sons Holdings Sdn Bhd. 

 

Lembaga Pengarah YTL Power ketika ini mempunyai 12 Pengarah terdiri daripada lapan Pengarah Eksekutif dan empat Pengarah Bukan Eksekutif Bebas. 

 

Menurut Maybank IB, tujuh daripada lapan Pengarah Eksekutif termasuk Pengerusi syarikat dan Pengarah Urusan merupakan adik beradik.

 

YTL Power tidak mendedahkan butiran bayaran imbuhan pihak pengurusan kanannya, bagaimanapun bayaran diterima pengarahnya dinyatakan, dengan Pengarah Urusan menikmati RM5.55 juta pada tahun kewangan 2020 (FY20). - DagangNews.com