BizSmart® Solution perkasa ‘landskap' digital PKS pasca COVID-19 | DagangNews Skip to main content

BizSmart® Solution perkasa ‘landskap' digital PKS pasca COVID-19

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Susulan penularan jangkitan pandemik COVID-19, pembelian dan perkhidmatan dalam talian melonjak dengan ketara kerana terdapat permintaan yang tinggi dan sekatan pergerakan di seluruh dunia.

Syarikat-syarikat di Malaysia turut tidak ketinggalan untuk beralih kepada digital termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Sehubungan itu, sebagai langkah membantu memperkasa transformasi digital dalam kalangan syarikat PKS, Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) memperkenalkan BizSmart® Solution iaitu sebuah portal yang memberi peluang kepada pengusaha perniagaan mengakses penyelesaian dan sumber perniagaan yang berkaitan selain berhubung dengan perusahaan lain. 

Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Alliance Bank, Fozia Amanulla berkata, antara manfaat portal berkenaan adalah dengan menjadikan perniagaan dikenali secara umum dan meluas.

 

Fozia
Fozia Amanulla

 

Perniagaan akan lebih dikenali umum dan mempunyai akses kepada pangkalan pelanggan secara lebih meluas dan besar selain menerima pengurusan kos operasi. 

“Kami ingin pemilik perniagaan untuk lebih fokus kepada rancangan masa hadapan mereka dan mempunyai sumber matlamat bekerjasama ke arah objektif yang serupa.

“Pembayaran digital dan kapabiliti pembukaan akaun kami disertai manfaat menarik yang dapat membantu pihak sumber manusia dan operasi perniagaan untuk menguruskan operasi harian mereka. 

“Pandemik COVID-19 memberi impak yang tidak dijangka kepada semua perniagaan. Platform ini bertujuan membantu semua sektor PKS tempatan dalam proses pemulihan akibat impak tersebut,” kata Fozia kepada DagangNews.com.

Dalam pada itu, pelaksanaan pemasaran digital semakin luas dan menjadi sebuah trend dalam dunia perniagaan masa kini. 

Ketua Pegawai Eksekutif PanPages TRINITY Sdn. Bhd. (PanPages TRINITY), Christopher Ng percaya perniagaan yang tidak mengaplikasikan pemasaran digital mungkin tidak dapat bertahan lama berbanding perniagaan lain yang sudah melalui transformasi digital. 

 

Chris
Christopher Ng

 

“Ini adalah kerana semakin ramai pengguna kini meneliti dan membeli produk melalui kaedah dalam talian. Anda mesti memastikan barangan jenama bukan hanya dipaparkan di laman web perniagaan tetapi juga di platform seperti Linkedin, blog, dan sebagainya.

“Kini, terdapat banyak platform pasaran digital yang boleh digunakan seperti enjin carian termasuk Google Ads dan YouTube Ads serta media sosial seperti Facebook Ads, Instagram Ads, Twitter Ads, dan LinkedIn Ads.

“Secara amnya, perbelanjaan pemasaran digital bergantung kepada skala perniagaan anda. Perniagaan yang mempunyai perbelanjaan yang terhad boleh bermula secara kecil-kecilan, manakala perniagaan yang berkemampuan boleh memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi,” jelas beliau.

BizSmart® Solution menyaksikan penyertaan PanPages TRINITY yang merupakan agensi pemasaran digital untuk membantu  memberi pendedahan digital kepada PKS dan meningkatkan jualan mereka.

Syarikat PKS tempatan digalakkan untuk mendaftar di portal BizSmart® Solution bagi menerima pelbagai manfaat dan latihan kemahiran menerusi pautan https://bizsmartsolution.alliancebank.com.my/ dan klik ‘Sign Up As Our Partner’. - DagangNews.com