BlueDuck Smart Commercial penyelesaian baharu untuk penyewa hartanah kediaman, komersial | DagangNews Skip to main content

BlueDuck Smart Commercial penyelesaian baharu untuk penyewa hartanah kediaman, komersial

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Feb - Syarikat pemula tempatan, BlueDuck melancarkan produk terbaharunya BlueDuck Smart Commercial yang ditaja jamin oleh  Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General), hari ini.

 

Inisiatif itu membuka laluan kepada BlueDuck dalam mengembangkan perniagaannya kepada pelbagai pelanggan termasuk hartanah kediaman serta lot komersial yang boleh digunakan sebagai penggantian kepada deposit sewaan serta membantu perniagaan dalam membaiki aliran tunai mereka.

 

Pelangggan BlueDuck juga boleh menggunakan kemudahan BlueDuck Tenant Profile yang menyerlahkan kelebihan mereka kepada pemilik tanpa perlu berkomunikasi dan ia juga berfungsi sebagai rujukan dalam memastikan bakal penyewa datang dengan bukti kelayakan yang betul.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BlueDuck, Earnest Wong berkata, visi mereka adalah untuk menggunakan kemajuan teknologi dan membangunkan penyelesaian fintech yang menyeluruh untuk pasaran hartanah tempatan yang boleh digunakan untuk semua.

 

"Dengan penyelesaian BlueDuck, semua orang mampu untuk menyewa tanpa perlu mengeluarkan jumlah yang besar untuk deposit. 

 

"Oleh itu, BlueDuck menjenamakan perkhidmatan mereka memenuhi keperluan pelanggan dan ingin memudahkan, mempercepatkan transaksi memastikan ia selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak pelancaran Penyelesaian Sifar Deposit untuk hartanah kediaman pada tahun 2020, BlueDuck berjaya mencatat pertumbuhan langganan secara purata sebanyak 64.83% sebulan, mencapai RM5 juta sejak bulan Ogos 2020 dengan kadar pertumbuhan purata 28.8% sebulan selain lebih 75% pemiliki rumah menerima bayaran sewaan tepat pada masanya menggunakan BD Pay iaitu perkhidmatan Debit Langsung oleh FPX. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, sebagai penanggung insurans, pihaknya mahu menyediakan produk serta perkhidmatan yang mampu memberikan perlindungan yang relevan untuk pelanggan mereka.  

 

"Dalam dua tahun ini kami telah menyaksikan kesan COVID-19, dan kami bersedia untuk menyokong peruncit dan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dalam pemulihan pasca-pandemik. 

 

"Kami berbesar hati dapat berkerjasama dengan BlueDuck dan menyediakan sebuah pengalaman positif untuk penyewa dan tuan tanah pada masa yang sukar," katanya. - DagangNews.com