BM Greentech ambil alih sepenuhnya firma solar Plus Xnergy dengan harga saham RM110 juta | DagangNews Skip to main content

BM Greentech ambil alih sepenuhnya firma solar Plus Xnergy dengan harga saham RM110 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 18 Jun - Syarikat dandang biojisim, BM Greentech Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Boilerech Holdings Bhd, menandatangani perjanjian terma untuk mengambil alih sepenuhnya firma solar Plus Xnergy Holding Sdn Bhd pada harga saham RM110 juta.

 

Cadangan pengambilalihan itu akan diselesaikan melalui penerbitan 81.48 juta saham baharu pada RM1.35 sesaham, kata BM Greentech dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

BM Greentech dan pemilik Plus Xnergy merancang untuk menandatangani perjanjian jual beli (SSA) yang muktamad dalam tempoh 30 hari akan datang, katanya.

 

Bersempena dengan SSA, Syarikat juga akan melaksanakan cadangan terbitan khas Saham BMG baharu (Saham Peletakan) pada harga yang sama dengan Harga Terbitan (iaitu RM1.35 setiap Saham Peletakan) kepada syarikat induk langsungnya , QL Green Resources Sdn Bhd, anak syarikat QL Resources Berhad (QL).

 

Ia bertujuan mengekalkan pegangan saham QL dalam BMG melebihi 50% daripada kepentingan ekuiti dalam BMG setelah selesai Cadangan Pengambilalihan.

 

"Hasil yang diperoleh daripada Cadangan Terbitan Khas kepada QL akan disalurkan terutamanya ke arah pengembangan perniagaan Kumpulan BMG dan Kumpulan PXH," kata BM Greentech.

Plus Xnergy Holding

PXH dan kumpulan syarikatnya (Kumpulan PXH) terlibat terutamanya dalam penyediaan penyelesaian tenaga bersih untuk projek komersial, perindustrian, kediaman dan solar (LSS) berskala besar termasuk ladang solar.

 

Kumpulan PXH memfokus ke arah mempertingkat ekosistem tenaga, yang terdiri, antara lain, penjanaan tenaga, kecekapan tenaga, penyimpanan tenaga dan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

 

Perniagaan Kumpulan PXH dijangka menjadi pelengkap dan sinergi kepada perniagaan sedia ada BMG dan anak-anak syarikatnya (Kumpulan BMG), yang terutamanya terlibat dalam penyediaan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian alam sekitar yang mampan, memfokuskan kepada bio-tenaga., rawatan air dan segmen tenaga suria. - DagangNews.com