BMI kekalkan unjuran defisit belanjawan Malaysia pada 4.9% | DagangNews Skip to main content

BMI kekalkan unjuran defisit belanjawan Malaysia pada 4.9%

Oleh Diyana Isamudin

KUALA LUMPUR 17 Okt - BMI Country Risk & Industry Research (BMI) telah mengekalkan unjuran defisit belanjawan Malaysia memandangkan sebahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkurangan kepada 4.3% pada 2024 berbanding 4.9% tahun ini, sejajar dengan unjuran fiskal kerajaan.

 

Anak syarikat Fitch Solutions itu berkata pandangan terhadap prospek Belanjawan 2024 Malaysia memberikan isyarat kepada perjalanan yang berterusan menuju penyatuan fiskal.

 

“Belanjawan ini juga menandakan langkah positif ke arah matlamat jangka sederhana Malaysia untuk mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.5% daripada KDNK menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut BMI, antara pengumuman penting dalam Belanjawan 2024 adalah kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8% pada 2024 berbanding 6% pada masa ini, pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi antara 5 hingga 10% dan pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai bermula 2024.

 

“Kerajaan menjangkakan perubahan ini akan menjana penambahan RM14.6 bilion (0.7% daripada KDNK) pada 2024,” katanya.

 

BMI berkata jumlah pendapatan juga diramalkan meningkat 1.5% kepada RM307.6 bilion pada tahun depan (15.6 % daripada KDNK), di mana kenaikan pendapatan cukai ini akan membantu mengimbangi penyusutan pendapatan bukan cukai.

 

Firma itu berkata pendapatan bukan cukai diunjurkan menyusut sebanyak 13.3% kepada RM74.2bilion berikutan penerimaan pendapatan pelaburan telah berkurangan.

 

“Kerajaan menjangkakan pendapatan dividen daripada Petronas merosot daripada RM47.8 bilion pada 2023 kepada RM39.7 bilion pada 2024,” katanya.

 

Dari segi perbelanjaan, BMI berkata kerajaan mengunjurkan kenaikan 1.2% dalam perbelanjaan operasi kepada RM303.8 bilion pada 2024, manakala perbelanjaan bersih bagi pembangunan diunjurkan susut 7% kepada RM90 bilion pada 2024 (4.6% daripada KDNK).

 

“Secara keseluruhannya, jumlah perbelanjaan diunjurkan menyusut berbanding anggaran yang disemak semula berjumlah RM397.4 bilion pada 2023 kepada RM393.8 bilion,” katanya.

 

Pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu menyaksikan peruntukan terbesar berjumlah RM393.8bilion atau 19.9% daripada KDNK.

 

Daripada jumlah tersebut, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM303.8 bilion atau 77.1% disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, manakala baki RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.  - DagangNews.com