BNM dijangka teruskan dasar monetari sedia ada & OPR sehingga September | DagangNews Skip to main content

BNM dijangka teruskan dasar monetari sedia ada & OPR sehingga September

OLEH NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka meneruskan dasar monetarinya yang longgar dan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah sehingga September 2022.

 

Kenangan Investment Bank Berhad berkata, sepanjang bulan lalu, kerajaan telah membuka semula kebanyakan sektor ekonomi kerana situasi COVID-19 domestik telah bertambah baik dengan ketara berikutan kadar vaksinasi yang tinggi dan pematuhan yang lebih baik kepada prosedur operasi standard. 

 

"Melangkah ke hadapan, untuk menyokong kemajuan pemulihan yang berterusan, kami menganggap BNM akan meneruskan dasar monetarinya yang longgar dan mengekalkan OPR tidak berubah sehingga sekurang-kurangnya September iaitu sehingga mesyuarat ke-5 untuk 2022," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Rizab antarabangsa BNM kini berjumlah AS$116.1 bilion pada 29 Oktober 2021. 

 

BNM berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.3 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (AS$103.3 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$6.1 bilion), emas (AS$2.2 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion). Aset-aset yang terdiri daripada emas dan pertukaran mata wang asing dan rizab lain, termasuk SDR berjumlah RM486.22 bilion, Kertas Kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), deposit dengan institusi kewangan ((RM629.64 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM22.68 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) serta aset-aset lain (RM15.71 bilion)  

 

Dalam pada itu Kenanga Investment berkata, walaupun keyakinan yang semakin meningkat mengelilingi prospek ekonomi domestik pada 2022, mata wang tempatan dijangka lemah daripada paras semasanya.

 

"Walau bagaimanapun, AS$ berpotensi menjadi lemah jika bank pusat utama lain mula mengetatkan dasar monetari mereka lebih awal daripada Fed. 

 

"Walau apa pun, ringgit akan terus disokong oleh harga minyak mentah yang stabil dan potensi peningkatan dalam angka makroekonomi domestik yang akan datang," katanya.   -DagangNews.Com