KUALA LUMPUR 11 Feb - Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pemulihan sejajar dengan pertumbuhan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang berkembang.
Katanya, program pemberian vaksin penggalak COVID-19 dan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas yang dipercepat, seiring dengan kapasiti sistem penjagaan kesihatan yang mencukupi, akan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam negeri, lantas mengukuhkan momentum pemulihan.
"Bagaimanapun, imbangan risiko terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh perkembangan berhubung dengan COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada suku keempat 2021, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.
Baca : Ekonomi Q4 berkembang 4.5%, catat pertumbuhan KDNK 2021 pada 3.1%
Berikutan pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku berkenaan, menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 meningkat sebanyak 3.1% secara keseluruhan manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.6%.
Kegiatan ekonomi yang kembali pulih dibantu oleh pemulihan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.
Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, pada 2022, ekonomi dalam negeri dijangka terus berada pada landasan pemulihan disokong oleh permintaan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.
"Ini berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan.
"Penerusan projek pelaburan besar dalam sektor swasta dan sektor awam juga akan terus menyokong pertumbuhan," jelasnya.
Menurut beliau, purata inflasi keseluruhan bagi tahun ini dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput.
Katanya, inflasi teras dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal berikutan persekitaran kos input yang tinggi.
"Namun begitu, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti dalam ekonomi dan pasaran pekerja.
"Bagaimanapun, prospek ini terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan," katanya. - DagangNews.com