KUALA LUMPUR 5 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) akan menambah peruntukan sehingga RM4 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejajar dengan pakej Pemerkasa Plus dan Pemulih yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia membabitkan RM2 bilion untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) menjadikan keseluruhannya berjumlah RM6 bilion.
Sebanyak RM2 bilion lagi untuk kemudahan semua sektor ekonomi (AES) yang mana peruntukannya meningkat kepada RM6.5 bilion.
TRRF bertujuan memberikan bantuan dan sokongan untuk pemulihan PKS dalam sektor perkhidmatan manakala AES ini terbuka kepada PKS daripada semua sektor ekonomi dan bertujuan untuk meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan.
Jelas BNM, TRRF dan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) telah ditambah baik untuk membolehkan PKS
menggunakan sebahagian daripada pembiayaan untuk membayar balik pinjaman perniagaan yang sedia ada (iaitu pembiayaan semula).
Jumlah maksimum yang boleh digunakan untuk pembiayaan semula merangkumi TRRF (hingga 30% daripada pembiayaan yang diluluskan) dan PTF (hingga 50% daripada pembiayaan yang diluluskan).
"Selain itu, penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Penjana (PENJANA SME Financing) kini layak untuk memohon PTF (hingga RM300,000 bagi setiap PKS).
"PTF bertujuan untuk menyokong PKS dalam sektor pelancongan dengan membantu mereka mengekalkan keupayaan dan membuat penyesuaian serta terus berdaya maju selepas pandemik," katanya. - DagangNews.com