BNM turut beli bon dalam pasaran sekiranya perlu | DagangNews Skip to main content

BNM turut beli bon dalam pasaran sekiranya perlu

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengambil bahagian dalam pembelian bon sekiranya perlu berdasarkan keadaan tertentu. 

Jelasnya, langkah itu bertujuan memastikan pasaran bon domestik berada dalam keadaan teratur.

“Secara keseluruhan, langkah ini telah menambah mudah tunai sebanyak RM54 bilion ke dalam sistem perbankan,” katanya kepada Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Alan Ling Sie Kiong (PH-DAP), yang ingin mengetahui teknik atau mekanisme dasar fiskal dan monetari yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan untuk menangani kemelut ekonomi negara akibat COVID-19.

BNM juga sebelum ini telah memotong sebanyak 125 mata asas dalam kadar dasar semalaman (OPR) sejak tujuh bulan pertama 2020, daripada 3% kepada 1.75%.

 

tengku zafrul
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

Kata Tengku Zafrul, pengurangan OPR secara berterusan itu bertujuan terutamanya untuk menyokong penambahbaikan kegiatan ekonomi serta memberikan rangsangan dasar tambahan bagi mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

Dari sudut monetari, kerajaan telah menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas daripada 3% kepada 2% pada Mac hingga Mei 2020.

“Institusi perbankan juga telah diberi fleksibiliti melalui pengiktirafan sekuriti terbitan pelaburan kerajaan sebagai sebahagian daripada SRR,” tambahnya. 

Dalam pada itu, kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal mengembang dengan pakej rangsangan komprehensi bernilai RM259 bilion atau 20% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan suntikan langsung fiskal sebanyak RM45 bilion. - DagangNews.com