BNM unjur pinjaman terjejas keseluruhan bank naik lebih 4%   | DagangNews Skip to main content

BNM unjur pinjaman terjejas keseluruhan bank naik lebih 4%  

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank-bank berdepan pinjaman terjejas keseluruhan yang dijangka meningkat lebih 4% daripada pinjaman menjelang hujung tahun ini berbanding tahun 2020. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkannya, didorong oleh terutamanya pinjaman terjejas perniagaan yang lebih tinggi. 

 

Jelas bank pusat itu, situasi berkenaan mengambil kira kesan moratorium secara menyeluruh yang dilaksanakan pada bulan April dan kemudiannya bantuan bayaran balik bersasar untuk individu yang diumumkan oleh bank pada bulan Ogos 2020. 

 

“Pinjaman terjejas perniagaan dijangka didorong oleh kes mungkir bagi bayaran balik pinjaman secara sekali gus (bullet repayments) yang akan matang oleh syarikat yang beroperasi dalam sektor mudah terjejas. 

 

“Syarikat ini kebanyakannya berada dalam industri perkhidmatan yang dijangka mengalami pemulihan yang lebih perlahan. 

 

“Pinjaman terjejas perniagaan juga didorong oleh beberapa kumpulan peminjam besar dengan keadaan kewangan yang lebih lemah,” jelas BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama 2020, yang dikeluarkan hari ini. 

 

BNM
Sumber: BNM

 

Tambah laporan itu, pinjaman terjejas isi rumah pula diunjurkan meningkat dua kali ganda, walaupun daripada tahap terendah dalam sejarah. 

 

Pinjaman terjejas isi rumah dijangka lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2021 memandangkan program bantuan bayaran balik pinjaman yang dilanjutkan akan dilaksanakan sehingga separuh pertama 2021 bagi individu yang mengalami kehilangan pendapatan, kata BNM.

 

Secara keseluruhannya, BNM menegaskan kos kredit kepada bank boleh meningkat kepada RM29 bilion, 1.4% daripada jumlah pinjaman pada tahun 2020 dan 2021. 

 

BNM
Sumber : BNM

 

Unjuran itu mengandaikan anggaran yang konservatif mengenai bahagian pinjaman di bawah bantuan bayaran balik pinjaman bersasar, terutamanya untuk perniagaan berdasarkan trend penstrukturan semula dan penjadualan semula (R&R) pada permulaan pandemik, ujar BNM lanjut.

 

“Dalam keadaan yang terus tidak menentu, bank-bank lebih proaktif dalam melanjutkan bantuan bayaran balik pinjaman, seperti yang berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini. 

 

“Hal ini tidak diambil kira dalam simulasi tersebut. Sejak bulan Julai, bilangan perniagaan yang menerima bantuan bayaran balik pinjaman daripada bank telah meningkat tujuh kali ganda. 

 


“Hal ini akan meningkatkan keupayaan membayar balik hutang dan mengurangkan kerugian kredit,” tambah BNM. - DagangNews.com