Boh Plantations, GEC jalin kerjasama bantu pulihkan hutan paya gambut Malaysia | DagangNews Skip to main content

Boh Plantations, GEC jalin kerjasama bantu pulihkan hutan paya gambut Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Seramai 130 sukarelawan mengambil inisiatif menanam sebanyak 600 pokok bagi membantu memulihkan hutan paya gambut negara anjuran BOH Plantations dengan Global Environment Centre (GEC) di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Selangor, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn Bhd, Jason Foo berkata, pihaknya telah terlibat dalam Usaha Pemulihan dan Pengurusan Air Hutan Paya Gambut oleh GEC di HSKLU sejak 2015. 

 

Kini katanya, syarikat tersebut telah menaja usaha penanaman pokok termasuk penjagaan dan pengurusan tumbuhan berkenaan.

 

"Sebagai sebuah syarikat yang terhutang budi kepada alam sekitar atas kejayaan dan legasi yang dikecapi, kelestarian alam adalah suatu diutamakan dalam merealisasikan matlamat kami untuk menjadi penanam teh yang mampan sepenuhnya pada masa akan datang. 

 

"Kami mengutamakan ekosistem seimbang di kawasan hutan sekeliling semua ladang teh kami. Di Ladang BOH Bukit Cheeding, yang berada pada kedudukan unik bersebelahan dengan HSKLU, kami mengekalkan zon penampan di antara kawasan penanaman kami dengan hutan berkenaan bagi memelihara kepelbagaian biologi hidupan dan keutuhan tanah. 

 

"Usaha penanaman pokok ini adalah sebahagian daripada program kemampanan jangka panjang syarikat yang bertemakan ‘BOH, A Cup of Sustainabili-tea’. Kami amat gembira dan berbesar hati untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran dan pemulihan serta kelestarian hutan tanah gambut negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah GEC, Faizal Parish pula berkata, sejak beberapa tahun lalu, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan untuk memulihkan hutan paya gambut negara menghasilkan perkembangan yang positif. 

 

 

boh

 

 

Katanya, program itu mendapat sokongan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), penglibatan aktif Sahabat Gambut Asli Temuan (SGAT), jalinan kerjasama sektor awam dan swasta serta peningkatan libat urus masyarakat.

 

"Menerusi sokongan itu, kami mampu mewujudkan pendekatan pengurusan hutan paya gambut yang mampan dan membantu mengekalkan nilai kawasan tersebut serta memelihara kekayaan kepelbagaian biologi dan mengekalkan manfaat ekosistem, termasuk mengawal perubahan iklim," katanya.

 

 

boh

 

 

boh

 

 

Dalam pada itu, turut diadakan program penanaman pokok bulanan yang dianjurkan secara bersama oleh GEC, JPNS, Pertubuhan Sahabat Hutan Gambut Selangor Utara dan SGAT yang juga menyokong Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. 

 

Usaha penanaman semula ini telah berjaya meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan usaha pemulihan hutan paya gambut menerusi penglibatan masyarakat. 

 

Untuk mengambil bahagian dalam inisiatif-inisiatif Penanaman Pokok GEC pada masa hadapan, layari laman web www.gec.org.my. - DagangNews.com