Bonia jual 100% ekuiti dalam SBD hanya pada kadar RM1 | DagangNews Skip to main content

Bonia jual 100% ekuiti dalam SBD hanya pada kadar RM1

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 April - Bonia Corporation Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Dominion Directions Sdn. Bhd. (DDSB) telah melupuskan 100% ekuiti dalam SB Directions Sdn. Bhd. (SBD) hanya pada kadar RM1.

 

Ekuiti itu telah dijual kepada SBG Holdings Sdn. Bhd. (SBG) yang sekali gus menjadi syarikat induk kepada SBD, berkuatkuasa 19 April 2021.

 

Menurut makluman Bonia di Bursa Malaysia, pelupusan ekuiti itu bersamaan 500,000 saham biasa termasuk pengundian, dividen dan hak serta manfaat lain yang dipegang di dalam SBD. 

 

“Kos asal pelaburan DDSB di dalam SBD adalah RM500,000.

 

“SBD mencatatkan kerugian sebanyak RM822,617 dan penyusutan modal sebanyak RM196,490 dalam kenyataan kewangan diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020,” jelas Bonia.

 

Bonia mengulas lanjut bahawa pelupusan itu dijangka tidak mendatangkan impak ke atas perolehan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

 

Dalam makluman Bonia pada 25 Februari lalu, SBG juga dinyatakan akan menghantar permohonan untuk disenaraikan di Pasaran LEAP kepada Bursa Securities.

 

Bonia berkata, Cadangan Penyenaraian SBG tidak akan memerlukan pengumpulan dana sebelum kemasukan syarikat itu ke Senarai Rasmi Bursa Securities.

 

Setakat 3 petang, nilai saham Bonia menokok 0.56% kepada RM0.905. - DagangNews.com